Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sindiket pemerdagangan manusia tumpas, enam termasuk tiga anggota polis ditahan


Tarikh kemaskini: 24/05/2019





IPOH, 24 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Perak berjaya melumpuhkan satu sindiket pemerdagangan manusia melibatkan penyeludupan migran warga India ke negara Eropah yang aktif sejak 10 tahun lalu, kata Pengarahnya Kamalludin Ismail.

Beliau berkata kejayaan itu susulan penahanan tiga dalang utama warga tempatan terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang anak mereka dalam satu operasi selama empat hari yang bermula Isnin lalu.

Selain itu, katanya tiga anggota polis terdiri daripada seorang sarjan dan dua konstabel berumur antara 22 dan 57 tahun turut ditahan bersama 45 lagi migran India dalam operasi itu.

"Modus operandi mereka adalah sindiket akan berhubung dengan pasangan suami isteri itu kemudian mereka akan mencari orang awam atau penjawat awam untuk membawa pendatang tanpa izin keluar melalui sempadan Thailand sebelum ke negara Eropah.

"Peranan anggota polis berkenaan pula adalah seorang bertindak sebagai pengatur manakala dua lagi sebagai ejen pengangkut," katanya dalam satu sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, lewat malam tadi.

Mengulas lanjut Kamalludin berkata berdasarkan siasatan awal, seorang migran dikenakan bayaran sehingga RM5,000 untuk diseludup ke Thailand sebelum ke Eropah.

Katanya pihak Imigresen merampas wang tunai kira-kira RM13,750, beberapa buah telefon bimbit, dua motosikal serta tiga kereta dalam operasi itu dan semua yang ditahan disiasat di bawah beberapa Akta Imigresen termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Menurut Kamalluddin, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia serta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Lapor berita benar, jangan mengadu domba, jaga sensitiviti, kata Undang Luak Jelebu kepada media

 
     

PDRM diarah buat sekatan jalan, halang aktiviti bawa keluar sisa toksik secara runcit

 
     

Jambatan angkat dijangka dibuka 1 Ogos - Exco Terengganu

 
     

Pencemaran udara Pasir Gudang: Sembilan tabika perpaduan ditutup

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel