Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Yapeim peruntuk RM168,500 bantu golongan kurang berkemampuan di Melaka


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





 

JASIN, 23 Mei (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan RM168,500 bagi membantu 1,600 golongan kurang berkemampuan di Melaka menerusi program Inspirasi Ramadan di seluruh negeri pada tahun ini.

Anggota Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Mokhtar Ramli berkata, daripada jumlah itu, 1,000 orang merupakan penerima daripada golongan anak yatim dan selebihnya adalah pelajar miskin yang masing-masing menerima bantuan sebanyak RM120 dan RM70.

"Bantuan kepada penerima di Melaka melibatkan anak-anak yatim daripada 33 buah sekolah di 11 lokasi dan 150 keluarga miskin dari tiga lokasi di seluruh negeri ini.

"Kita harap bantuan itu akan dapat meringankan beban golongan sasar ini, dan ini merupakan program tahunan yang dilaksanakan YaPEIM sejak sekian lama," katanya ketika berucap pada Program Inspirasi Ramadan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Tedong, Merlimau, di sini malam ini. 

Program berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Menurut Mokhtar bagi program Inspirasi Ramadan tahun ini, YaPEIM memperuntukkan RM2.5 juta untuk diagihkan kepada 14,000 penerima di seluruh negara, yang terdiri daripada anak-anak yatim, golongan asnaf dan golongan kurang berkemampuan.

Sementara itu, Adly ketika ditemui selepas perasmian program itu berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang dilakukan YaPEIM, kerana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban ditanggung masyarakat.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan peranan YaPEIM, kerana kita tahu yayasan ini dibangunkan bagi membantu ekonomi masyarakat Islam.

"Selain itu, YaPEIM juga memainkan peranan dengan meringankan beban golongan sasar melalui sumbangan sedekah daripada pencarum dan penyumbang di seluruh negeri serta penglibatan guru di peringkat Jabatan Pendidikan negeri," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel