Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jawatankuasa khas ditubuh tangani masalah pencemaran Sungai Melaka


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





JASIN, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah pencemaran di Sungai Melaka daripada terus berulang pada masa akan datang. 

Ketua Menteri Adly Zahari berkata penubuhan jawatankuasa khas itu akan diketuai Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka dan perkara utama yang bakal dibincangkan adalah mengenai penemuan ratusan bangkai ikan dan air sungai menjadi hitam.

“Setakat ini apa yang kita sudah kenal pasti kematian ikan yang banyak itu adalah berpunca daripada pertembungan air tawar dan air laut. Fenomena ini berulang dan pernah berlaku pada tahun 2015.

“Sungai Melaka adalah kawasan pelancongan dan melalui penubuhan jawatankuasa ini, kita akan melihat apakah kawalan dalam tempoh jangka masa panjang untuk memastikan air sungai itu benar-benar berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inspirasi Ramadan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Tedong, Merlimau, di sini malam ini. 

Beliau berkata selain itu, jawatankuasa khas berkenaan akan membincangkan langkah utama untuk mengawal kemasukan air melalui sistem baraj yang dipertingkatkan selain memastikan pengurusan sungai yang lebih baik pada masa depan.

Sementara itu, Adly berkata antara faktor yang menyebabkan air Sungai Melaka boleh bertukar menjadi hitam ialah sekatan air yang terlalu lama di baraj empangan Batu Hampar selain kesan persekitaran semula jadi.

“Namun, kita percaya keadaan itu akan kembali seperti sedia kala sekiranya berlaku hujan. Malah, perkhidmatan bot Melaka River Cruise juga tidak dihentikan akibat kejadian ini.

“Kita percaya masalah sistem baraj di Sungai Melaka akan dapat diselesaikan sekiranya permohonan sebanyak RM15 juta diluluskan oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli,” katanya.

Isnin lepas, media melaporkan kerajaan negeri mahu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka menyiasat kejadian Sungai Melaka tercemar sepanjang kira-kira tiga kilometer hingga air bertukar hitam dan hidupan sungai mati.

Keadaan tersebut turut mendapat rungutan daripada pelancong yang mendakwa Sungai Melaka berbau busuk, malah menemui bangkai ikan terapung di sungai berhampiran Taman Rempah.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel