Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah tangguh laksana cukai pintu ke atas kilang kelapa sawit


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





KUDAT, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan cukai pintu ke atas kilang kelapa sawit, termasuk kepada mereka yang bakal melabur di Sabah, berkuatkuasa serta merta.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Jaujan Sambakong berkata keputusan itu dibuat bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi menarik pelabur datang ke negeri ini.

Katanya keputusan penangguhan sementara ini penting, untuk membangunkan ekonomi negeri ini.

"Keduanya adalah untuk memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada anak-anak tempatan Sabah, memandangkan negeri ini luas dengan tanaman sawit, namun industri pemprosesan sawit kurang, dan kita mahu ambil pendekatan ini menarik pelabur datang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kementerian itu di sini, hari ini.

Jaujan berkata pelaksanaan pengangguhan cukai itu juga bergantung kepada keperluan serta tidak terhad dalam tempoh masa tertentu, dan akan dilaksanakan jika telah mencapai objektif yang ditetapkan.

"Atas tanggungjawab ini, kita akan kehilangan hampir RM10 juta dalam tempoh setahun dengan pelaksanaan penangguhan cukai pintu ini.

"Tapi apa yang penting adalah pelabur datang ke Sabah, dan memberi peluang pekerjaan kepada anak Sabah yang mana kita sedar banyak rungutan berkaitan kes pengangguran yang tinggi, khususnya melibatkan lepasan universiti," katanya.

Menurutnya langkah ini juga akan menjadikan anak-anak tempatan tidak berharap mendapat pekerjaan dalam perkhidmatan awam, tetapi akan menceburi industri berteknologi tinggi ini untuk memperoleh pendapatan lumayan.

Dalam perkembangan lain, Jaujan berkata keputusan kabinet negeri memberhentikan pengeluaran lesen premis perniagaan mesin slot, dan apa juga dikategorikan sebagai judi, turut menjadi perbincangan utama mesyuarat kabinet itu.

Beliau berkata kementeriannya dengan tegas tidak akan memperbaharui semula lesen premis perniagaan mesin slot yang tamat tempoh. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Video Lucah: Beri ruang dan waktu untuk polis siasat -- KPN

 
     

Sultan Selangor rasmi pembukaan besar-besaran Central I-City

 
     

Elak minum susu kambing segar dari sebuah ladang di Pulau Indah

 
     

14 syarikat penuhi kriteria eksport buah Musang King ke China

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel