Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPDNHEP Kelantan periksa 24,441 premis perniagaan, rekod 417 kes


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





KOTA BHARU, 23 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan telah memeriksa 24,441 premis perniagaan di seluruh negeri ini sejak Januari hingga semalam.

Pengarah KPDNHEP Kelantan Adnan Abd Rahman berkata sebanyak 417 kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan membabitkan sitaan berjumlah RM379,757 termasuk RM39,500 kompaun terhadap 251 kes dan denda RM28,700 terhadap sembilan kes yang dibawa ke mahkamah.

“Daripada sembilan kes yang dihadapkan ke mahkamah, tiga kes membabitkan Akta Kawalan Bekalan 1961, dua kes Akta Perihal Dagangan 2011 dan empat kes membabitkan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Bagi kes yang membabitkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, sebanyak 26 notis di bawah Seksyen 21 telah dikeluarkan kepada peniaga dan enam kes pula membabitkan peniaga yang disyaki mengambil keuntungan tidak munasabah," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2019 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan Datuk Hanifa Ahmad. 

Adnan berkata dalam tempoh sama, sebanyak 78 aduan membabitkan transaksi dalam talian daripada jumlah keseluruhan 185 aduan yang diterima sepanjang tempoh tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebanyak 2,138 gerai di bazar Ramadan telah diperiksa dengan 51 peniaga diberikan amaran kerana tidak mempamerkan tanda harga.

Dalam pada itu, katanya KPDNHEP Kelantan telah membuat perancangan mengatur pegawai dan anggotanya untuk bertugas sepanjang Ramadan dan Aidilfitri bagi memantau peniaga supaya mematuhi SHMMP Hari Raya Puasa yang berkuat kuasa Selasa lepas hingga 19 Jun ini.

“Setakat ini kami melihat harga barangan masih terkawal dan daripada pemeriksaan yang dilakukan, bekalan juga mencukupi dan tidak ada alasan untuk peniaga menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel