Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Raja Zarith Sofiah zahirkan penghormatan terhadap Almarhum Sultan Ahmad Shah


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris hari ini berkongsi kenangan manis tentang sepupunya, Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, Pahang, yang meninggal dunia semalam pada usia 88 tahun.

Mengenang kembali, Raja Zarith Sofiah berkata pada ketika cuma akhbar dan  televisyen merupakan  sumber berita, menjadi suatu kebiasaaan terpampang gambar Almarhum Sultan Ahmad Shah berpakaian biasa duduk bersila atas lantai di rumah kampung sambil berborak dengan warga emas yang sakit dan memerlukan bantuan perubatan.

Baginda berkata Almarhum Sultan Ahmad Shah bukan berada di sana untuk memberi nasihat perubatan tetapi sebaliknya memberi perhatian dan melahirkan simpati seorang Sultan terhadap rakyat baginda

“Sekiranya berlaku bencana alam di Pahang - selalunya banjir - Almarhum Sultan Ahmad Shah yang pertama berada di tempat kejadian.

“Bagi keluarga saya di Perak, telah menjadi kebiasaan untuk kami melihat gambar Almarhum dalam surat khabar, sentiasa bersama rakyat baginda dan kami tidak melihat kemunculan baginda secara tidak disangka-sangka di sebuah rumah kampung sesuatu yang luar biasa,” menurut Permaisuri Johor itu dalam hantaran yang dimuat naik ke akaun Royal Johor Facebook hari ini.

Raja Zarith Sofiah juga mengimbas kembali  majlis perkahwinannya ketika ayahanda dan bonda baginda berbincang siapa yang harus memulakan upacara merenjis.

“Saya cuba bersungguh-sungguh untuk memahami  protokol diraja yang kompleks dan sentisif dan siapa yang lebih dari segi kekananan: ayahanda saya sebagai Sultan Perak dan ayah kepada pengantin perempuan atau Almarhum Sultan Ahmad Shah, anak saudaranya yang juga pada ketika itu Yang di-Pertuan Agong Malaysia!

“Dan, sudah tentu untuk menjadikan keadaan lebih rumit lagi ayahanda suami saya juga seorang Sultan. Saya biarkan pegawai protokol istana merundingkannya dengan ayah dan bonda sementara saya tumpukan kepada isu kurang sensitif seperti warna alis mata and gaya rambut saya,” kata Permaisuri Johor.

Akhirnya dalam keadaan yang serupa, Almarhum Sultan Ahmad Shah duduk atas lantai bersama penduduk kampung dan membiarkan ayahanda Raja Zarith Sofia - bapa saudaranya (Sultan Idris Shah) - memulakan upacara merenjis.

“Baginda mengetepikan protokol. Baginda membuat keputusan sendiri: baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong (ketika itu), baginda merupakan raja kita dan seharusnya mengatasi semua Sultan, namun baginda memilih untuk menuruti nilai mulia dengan merendah diri.

“Dengan memberi persetujuan agar ayahanda saya memulakan upacara merenjis pada majlis perkahwinan saya membuktikan lelaki seperti apa Almarhum itu. Protokol boleh dilentur atau tidak diamalkan, yang lebih  utama ialah keluarga dan rakyat,” tambah Permaisuri Johor.

Raja Zarith Sofiah berkata ketika anaknya Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim didiagnosis

menghidap kanser hati pada 2014 dan dimasukkan ke Hospital Gleneagles di Singapura, Almarhum Sultan Ahmad Shah merupakan yang pertama dan yang paling kerap menziarahi beliau serta kami atas rasa prihatin serta sokongan baginda  terhadap kami. 

“Suami saya (Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) yang  dalam keadaan gundah-gulana di hati, cuba menceriakan keadaan dengan mengingatkan Almarhum Sultan Ahmad Shah detik-detik melucukan yang mereka kongsi bersama atau seseorang yang mereka kenali ketika Almarhum Sultan Ahmad Shah melawat Johor.

“Kami tidak menyangka seorang Sultan akan menunjukkan keperihatinan dan kasih terhadap anak kami sedangkan Jalil merupakan sosok yang jarang baginda jumpa atau kenali.

“Kami tidak dapat nafikan Almarhum menjadikan kami semua - dan Jalil- merasa sangat istimewa. Apabila Jalil tewas dalam perjuangannya menentang kanser setahun kemudian baginda menghadiri upacara pengkebumiannya.

Raja Zarith Sofiah berkata sungguhpun pada hakikatnya keadaan kesihatan Almarhum pada ketika itu membatasi pergerakan baginda dan baginda tidak segagah dahulu, kehadiran baginda bersama keluarga sungguh bermakna bagi kerabat diraja Johor.

“Suami saya  merasa sungguh bersyukur dan terhutang budi terhadap  segala kebaikan serta kasih sayang yang ditunjukkan oleh Almarhum.

“Ketika ayahanda (Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail) gering, Almarhum Sultan Ahmad Shah terbang ke Johor untuk berada di hospital. Almarhum memberikan suami saya kekuatan dan keyakinan untuk menghadapi saat yang sedih dan sukar dalam hidupnya,” kata Permaisuri Johor.

Raja Zaith Sofia berkata banyak orang pasti mempunyai beribu kenangan istimewa mengenai titah serta tindakan Almarhum.

“Namun, ini semua merupakan kenangan kami yang tidak akan kami lupakan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda Sultan Ahmad Shah dan ditempatkan dikalangan orang beriman dan solihin.

Al Fatihah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel