Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

NSAM, atlet lega Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang dibuka semula


Tarikh kemaskini: 23/05/2019




PETALING JAYA, 23 Mei (Bernama) -- Setelah sembilan bulan ditutup, Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, yang menjadi venue latihan skuad kebangsaan serta penganjuran pelbagai kejohanan menembak kembali beroperasi seperti biasa.

Ini memberi kelegaan kepada penembak negara yang sebelum ini terpaksa menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil yang agak kecil dan tidak mempunyai kelengkapan yang diperlukan.

Lebih menggembirakan, dengan pembukaan semula Lapang Sasar Menembak Kebangsaan itu, bermakna akan adanya kembali penganjuran kejohanan-kejohanan menembak yang boleh disertai para penembak negara sebagai medan menguji prestasi mereka.

Bagi atlet menembak kebangsaan Muhammad Ezuan Nasir Khan, mengakui agak terjejas apabila venue latihan dan kejohanan di Subang itu ditutup dan beliau sendiri sukar untuk menilai prestasi sendiri tanpa menyertai mana-mana kejohanan.

Katanya, untuk acara menembak, atlet perlu menyertai kejohanan setiap bulan untuk memperbaiki hasil bidikan di samping memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa. 

“Sepanjang Lapang Sasar itu ditutup, pemilihan untuk ke kejohanan besar hanya dilakukan menerusi prestasi ketika latihan. Ia agak sukar bila kita tidak ada competition, tidak dapat bersaing, tidak dapat membandingkan prestasi dengan baik. 

“Ia memang memberi kesan kepada kami atlet menembak. Saya lega apabila venue ini dibuka kembali dan sekaligus ada kejohanan menembak yang akan diadakan semula. Ini akan membantu persiapan saya untuk ke Sukan SEA dan Kejohanan Menembak Asia kelak,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, pada sidang media yang sama, anggota Jawatankuasa Latihan dan Pertandingan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Datuk Musa Omar mengesahkan Lapang Sasar Subang mendapat lampu hijau untuk kembali beroperasi selepas ditutup sembilan bulan lepas ekoran kes jenayah.

Menurut Musa, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah memberi lampu hijau untuk Lapang Sasar Subang beroperasi selepas lulus empat siri pemeriksaan.

“Dua hari lepas, kita dapat surat daripada Ketua Polis Negeri Selangor menyatakan bahawa Lapang Sasar Subang sudah boleh digunakan selepas sembilan bulan ditutup ekoran insiden tidak diingini berlaku sebelum ini.

“Lepas kejadian itu, polis menyarankan agar NSAM menaik taraf sistem keselamatan venue seperti membina pagar dan sistem keluar masuk menggunakan kad. Selain itu, ahli dan penembak perlu melaporkan diri dahulu sebelum dibenarkan menembak di sini,” katanya.

Venue latihan skuad kebangsaan ini ditutup September tahun lepas selepas seorang remaja membunuh diri menggunakan senjata api.

Sepanjang penutupan Lapang Sasar Subang, penembak acara pistol dan rifle berlatih di Bukit Jalil sementara penembak shotgun terpaksa memilih sama ada di Johor atau Pulau Pinang.

Selepas dibuka semula, Lapang Sasar Menembak Subang akan digunakan untuk Kejohanan Menembak Selangor, bulan hadapan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     

Pandangan berbeza cadangan gantian hukuman mati mandatori

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel