Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua penganggur didakwa atas tuduhan cubaan bunuh seorang lelaki


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan cubaan bunuh dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki, Mei lepas.

Moi Kai Man, 21, dan M. Tamil Arasan, 19, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said. 

Mereka didakwa bersama-sama telah melakukan cubaan bunuh terhadap Tan Shen Sheong, 29, dan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah premis di  Lebuhraya Pinggiran, Batu Caves di sini pada 9.40 malam, 13 Mei lepas.

Pertuduhan  mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan  tempat tinggal dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan. 

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan mereka menanggung keluarga. 

Mahkamah  membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin setiap seorang berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dan menetapkan 24 Jun untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel