Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian pengangkutan, kerajaan negeri naik taraf dua jeti Port Dickson


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





PORT DICKSON, 23 Mei (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan, bagi menaik taraf dua jeti di Port Dickson dalam usaha meningkatkan kapasiti dan menjadikan ia sebagai produk pelancongan. 

Dua jeti tersebut ialah Jeti Penumpang Port Dickson Jabatan Laut Malaysia dan Jeti Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata justeru pihaknya menyarankan agar kerajaan negeri mengemukakan satu kertas cadangan yang lebih komprehensif berhubung perkara itu. 

“Ada cadangan daripada kerajaan negeri untuk melihat bagaimana kita dapat bangunkan jeti ini (Jeti Penumpang) atau menaik taraf supaya ia dapat menampung penumpang lebih ramai.

“Saya juga melihat memang ia boleh dioptimumkan, buat masa ini ia digunakan untuk feri ke Dumai, Indonesia dan adakalanya Genting Dream Cruise berlabuh, kalau kita punyai satu kemudahan dengan kapasiti yang lebih besar, diuruskan dengan lebih komprehensif dan teratur, saya melihat jeti ini bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi khususnya sektor pelancongan di Port Dickson,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerjanya ke jeti di Port Dickson di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Loke berkata Jeti Penumpang Port Dickson itu baru-baru ini telah mencuri tumpuan apabila sebuah kapal Genting Dream Cruise yang membawa ribuan penumpang telah berlabuh di jeti berkenaan.

“Setakat ini sudah lebih tiga kali cruise (kapal persiaran) ini berlabuh di sini dan setiap kali berlabuh mereka bawa ribuan penumpang, kalau dapat tarik penumpang turun untuk jalan dan berbelanja, ini akan bantu sektor ekonomi tempatan khususnya di Port Dickson,” katanya.

Mengenai jeti RAC pula, Loke berkata kawasan itu merupakan tanah milik RAC dan perbincangan akan dibuat bersama kerajaan negeri bagi melihat bagaimana usahasama dapat dijalankan untuk membangunkan kawasan itu sebagai satu produk pelancongan. 

“Port Dickson berada di tepi Selat Melaka dan punyai potensi besar bahkan selama ini Port Dickson memang dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan dan kedudukannya yang berhampiran Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga jadi satu kelebihan buat Port Dickson. 

“Memang kita harap untuk bangunkan Port Dickson bersama kerajaan negeri dan Anggota Parlimennya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mampu menarik lebih ramai pelabur masuk ke sini, kita harap dengan pelbagai faktor ini dapat membantu pembangunan ekonomi Port Dickson,” katanya. 

Mengenai tindakan Gabungan Teksi Malaysia yang mendakwa Loke menggunakan jawatannya bagi membuat banyak pindaan kepada peraturan-peraturan sedia ada dan membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Loke berkata terpulang kepada mereka apa yang hendak dilakukan. 

“Dia nak buat apa-apa suka hati dan itu hak masing-masing, saya buat kerja saya, saya tiada apa untuk jelaskan tetapi kita buat sesuatu untuk kepentingan semua, dia nak lapor itu hak dia,” katanya. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

UniSZA muncul universiti rujukan manuskrip digital pertama di Malaysia

 
     

Masalah kemiskinan di Kelantan masih serius

 
     

Sarawak alu-alukan siasatan SPRM - Abdul Karim

 
     

Tambak laut: Anwar akan bertemu Ketua Menteri untuk bincang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel