Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Almarhum prihatin nasib anak seni


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





PEKAN, 23 Mei (Bernama) -- Keprihatinan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Sultan Abu Bakar kepada nasib anak seni menjadikan kehilangan baginda terkesan dalam jiwa mereka yang pernah mempunyai kenangan peribadi dengan almarhum. 

Perkara itu diakui pelakon Datuk Seri Shah Rezza yang berkata almarhum akan sering memberi kurnia jika mendengar ada penggiat seni yang berada dalam kesusahan, memandangkan rezeki bidang seni 'ada turun naiknya'. 

"Baginda juga sering menasihatkan kami supaya menjaga nama baik. Itu antara nasihat yang tak pernah lekang daripada mulut baginda dan saya menjadikan ia sebagai amalan," katanya. 

Shah Rezza atau nama sebenarnya Raja Shah Zurin Raja Aman Shah berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada almarhum di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini, hari ini. 

Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang kelima mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi semalam dan akan dimakamkan selepas Zohor hari ini. 

Beliau juga berkongsi cerita diberikan kesempatan untuk bertemu almarhum di saat-saat akhir hayatnya kerana menziarah baginda di IJN pada malam sebelumnya. 

"Saya tiba pada 11 malam dan membaca surah Yasin di sisi baginda dan hanya pulang pada 8 pagi. Baru sahaja sampai di rumah, saya terima berita kemangkatan baginda. Terkejut kerana rupanya ia pertemuan akhir kami," katanya. 

Sementara itu, Raja Pop negara Datuk Seri Jamal Abdillah mendedahkan bahawa lirik lagu 'Simfoni Sepi' ditulis Sultan Ahmad Shah bagi mengenang isteri baginda Tengku Afzan Tengku Muhammad yang mangkat pada 1988.  

Beliau juga mengakui terharu apabila baginda sudi mencemar duli untuk menerima jemputannya hadir ke Konsert 3 Suara pada 2016 walaupun kesihatan almarhum tidak begitu baik ketika itu. 

Jamal berkata beliau sudah berniat untuk menjadikan jemputan ke konsert itu sebagai hadiahnya  sempena hari keputeraan baginda, menyebabkan beliau menghantar sendiri jemputan kepada almarhum di IJN.

"Baginda sering menjemput saya membuat persembahan pada hari ulang tahun keputeraan baginda sejak tahun 80-an sehingga dua tahun lepas sampai saya sudah tahu lagu yang disukai baginda. 

"Selain Simfoni Sepi, lagu kegemaran baginda ialah lagu seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee Di Mana Kan Ku Cari Ganti," katanya. 

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel