Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Warga SK Taman Cahaya Masai bersyukur, semua pelajar selamat sepanjang kes pembuangan sisa kimia


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cahaya Masai bersyukur tindakan awal mereka memindahkan pelajar ketika kes pencemaran kimia di Sungai Kim-Kim dekat Pasir Gudang ketika menular Mac lalu, membuahkan hasil setelah kesemua mereka selamat dan  tidak mengalami sebarang simptom.

Guru Besar Asrol Faezal Ahmad berkata hanya tiga daripada 1,178 pelajarnya hanya mengalami simptom pencemaran yang biasa ketika berada di rumah masing-masing dan ia berlaku setelah kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup oleh Kementerian Pendidikan.

“Hasil perkongsian maklumat dengan guru besar di sekolah lain yang memaklumkan pencemaran kimia itu banyak menyerang pelajar di tingkat atas, kami terus memindahkan pelajar terus ke tingkat bawah.

“Usaha kita berkesan dan tiada (pelajar)  yang terkena. Bersyukur kerana semasa kes itu tegang, sekolah ini tidak terlibat (tiada pelajar alami simptom pencemaran) dan kalau ikutkan ia sangat berdekatan dengan SK Kopok, SMK Kota Masai dan SK Nusai Damai yang terjejas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Cahaya Kasih di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Asrol Faezal berkata  tiga pelajar berkenaan itu juga kembali pulih dan hadir ke sekolah seperti biasa setelah mendapatkan rawatan susulan.

“Semasa kejadian, ibu bapa ada zahirkan kerisauan tetapi kita sentiasa pantau pelajar.

“Malah guru serta kakitangan juga sentiasa bersedia, jika pelajar muntah dan sebagainya, tetapi syukur tiada pelajar yang terkena simptom berkenaan,” katanya.

Terdahulu, seramai 40 murid menerima sumbangan duit raya dan 28 murid asnaf yang turut ditemani ibu bapa mereka, menerima barangan keperluan seperti beras,  minyak masak, susu, tepung, dan gula.

Sementara itu, menurut Noraini Abdul Samad, 43 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia bersyukur anaknya Nazrul Iqmal Haziq Muhammad Khairul Nizam, 12,  turut menerima sumbangan dan menjelaskan sumbangan itu sedikit sebanyak boleh digunakan untuk persiapan Hari Raya.

“ Alhamdullilah, sumbangan ini dapat saya gunakan untuk raya, bersyukur sebab pihak sekolah sangat prihatin kepada anak-anak yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Menurut suri rumah, Rosnah Mahat, duit raya yang diberikan kepada anaknya Nur Alia Farhana Asfanizam, 11, dapat digunakan untuk membeli baju raya.

“Sangat bersyukur dan berterima kasih, setakat ini kelengkapan raya juga belum buat anak-anak baju raya pun belum beli lagi, jadi sumbangan ini dapat ringankan beban kami,” katanya ibu kepada empat orang anak itu.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel