Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

123 warga China dipercayai operator judi dalam talian ditahan


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Polis menahan 123 warga China dipercayai bekerja sebagai operator perjudian dalam talian menerusi serbuan di sebuah premis di Jalan Tebrau, di sini malam tadi.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor DSP Mohd Zairi Badderul berkata kesemua 109 lelaki dan 14 wanita berumur antara 16 dan 47 tahun itu ditahan dalam serbuan bermula 10 malam hingga 2 pagi.

Beliau berkata premis di tingkat 18 itu dipercayai berfungsi sebagai sebuah pejabat pusat panggilan yang  mana kesemua 123 lelaki dan wanita terbabit dipercayai mencari kenalan masyarakat di China bagi tujuan mempromosikan perjudian mereka melalui beberapa laman web seperti d.kingdou.cn dan www.pcdd.inwww28t.com.

“Hasil serbuan, polis berjaya merampas barang kes yang dipercayai berkait dalam aktiviti judi dalam talian berkenaan merangkumi 118 komputer riba, 287 telefon bimbit pelbagai jenama, 77 buku catatan serta dua wifi,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zairi berkata siasatan awal mempercayai kegiatan berkenaan sudah dijalankan sejak sebulan lepas dan premis berkenaan beroperasi dengan tiga syif berterusan 24 jam.

Beliau berkata kesemua mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (2) g Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Katanya polis Johor akan terus membuat pemantauan, serbuan dan pemeriksaan secara berterusan bagi tujuan membanteras dan membendung segala gejala yang tidak sihat yang boleh menggugat ketenteraman awam di negeri ini.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel