Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Warga Lithuania didenda RM12,000 buat onar dalam penerbangan


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





SEPANG, 23 Mei (Bernama) -- Seorang warga Lithuania yang dalam rancangan bercuti selama tiga minggu di Malaysia didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Sepang di sini hari ini setelah membuat onar ketika dalam penerbangan.

Petronis Augustinas, 33, yang bekerja sebagai konsultan pembinaan di London mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah ke atas seorang kru kabin penerbangan  Oman Air WY821 dari Muscat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 19 Mei 2019. 

Augustinas turut mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu menggunakan kata-kata kesat atau  menghina kru kabin berkenaan pada masa dan di tempat yang sama. 

Kedua-dua pertuduhan dibaca kepadanya dalam bahasa Inggeris. Timbalan Pendakwa Raya  Nasharina Nazlan meminta hukuman denda dikenakan sebagai satu pengajaran. 

Augustinas yang diwakili peguam  Zaflee Pakwanteh dalam  rayuannya, berkata dia tidak dapat mengingati apa yang berlaku ketika kejadian kerana terlalu mabuk setelah mengambil minuman keras bermula dari penerbangan dari London ke Muscat lagi. 

Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan atau enam bulan penjara jika gagal bayar. 

Augustinas membayar denda tersebut.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel