Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

229 persatuan penduduk Sarawak dipelawa dapatkan geran G-KOM


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





KUCHING, 23 Mei (Bernama) -- Kesemua 229 persatuan penduduk di Sarawak dipelawa mendapatkan Geran Komuniti (G-KOM) bernilai RM600,000, sebelum tarikh permohonan berakhir pada 30 September ini.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Sarawak, Georgina Apphia Ngau berkata ia adalah inisiatif kerajaan persekutuan kepada persatuan penduduk yang berdaftar dengan ROS di bawah kategori Sosial dengan subkategori Penduduk.

“Berbeza dengan pemberian sebelum ini, kaedah pemberian telah ditambah baik kepada tiga kategori iaitu Permohonan, Penghargaan dan Mandatori,” katanya pada sidang media mempromosi G-KOM 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya amat mengalu-alukan semua persatuan penduduk di seluruh Sarawak supaya memohon kerana ROS Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 60 persatuan penduduk untuk mengagihkan RM10,000 bagi setiap persatuan.

“Sehingga kini kita hanya menerima kurang daripada 10 permohonan dan jumlah itu sebenarnya amat sedikit manakala tiga daripadanya sudah pun diluluskan,” katanya.

Setiap persatuan penduduk boleh menghantar permohonan secara dalam talian iaitu melalui sistem eROSES di laman sesawang www.eroses.gov.my.

Sementara itu, Georgina mendedahkan sebanyak 2,496 persatuan daripada pelbagai kategori di Sarawak masih belum menghantar Penyata Tahunan bagi tahun 2018.

“Penyata Tahunan setiap persatuan hendaklah disediakan dalam masa 60 hari selepas mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dan perlu dihantar ke ROS selaras dengan Seksyen 14(1), Akta Pertubuhan 1966.

“Bagi tahun lepas, sebanyak 100 persatuan telah dibatalkan pendaftaran kerana kegagalan menyerahkan Penyata Tahunan,” katanya.

Untuk rekod, bagi 2018, sebanyak 4,515 persatuan yang aktif di Sarawak, namun hanya 2,019 persatuan yang menyerahkan Penyata Tahunan kepada ROS.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel