Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MDF laksana pelan pembangunan akar umbi dodgeball


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





MELAKA, 23 Mei (Bernama) -- Persekutuan Dodgeball Malaysia (MDF) sedang melaksanakan pelan pembangunan akar umbi sukan dodgeball di peringkat sekolah secara lebih meluas dalam usaha memperkenalkan sukan berkenaan kepada golongan pelajar sekali gus melahirkan pemain pelapis negara.

Presidennya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kursus berkaitan sukan dodgeball itu telah dijalankan di beberapa sekolah di Melaka, Negeri Sembilan serta Selangor baru-baru ini dan ia mendapat sambutan yang baik dalam kalangan guru dan juga pelajar.

Beliau berkata sukan itu kini bukan sahaja telah diterima di negara ini malah di rantau Asia Pasifik dan ia dapat dilihat menerusi kesungguhan negara luar mendapatkan tenaga pengajar untuk membimbing skuad negara masing-masing.

"MDF komited dalam meletakkan sukan dodgeball ini sebagai salah satu pilihan guru dan pelajar walaupun ia masih baharu di negara ini kerana tidak ramai yang tahu tentangnya.

"Apabila ia didedahkan kepada mereka, kebanyakannya berasa seronok bermain kerana ia mudah dan semua orang boleh bermain tanpa mengira bentuk fizikal dan ia tidak memerlukan fasiliti yang banyak sebaliknya cukup seluas gelanggang badminton," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)  Parlimen Masjid Tanah di sini, malam tadi.

Dodgeball merupakan permainan yang mana pemain kedua-dua pasukan cuba membaling bola ke atas satu sama lain, sambil mengelak daripada terkena bola berkenaan, seperti permainan bola beracun.

Mengulas lanjut, Anggota Parlimen Masjid Tanah itu berkata pelan pembangunan akar umbi sukan dodgeball itu penting kerana skuad Malaysia mempunyai potensi atau masa hadapan yang cerah dalam sukan tersebut berdasarkan prestasi yang dicapai di peringkat dunia.

Beliau berkata berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Persatuan Dodgeball Dunia, pasukan lelaki dan campuran negara menduduki tempat kedua manakala wanita berada di kedudukan keempat dunia.

Mas Ermieyati berkata skuad lelaki negara mengumpul 670 mata di belakang pendahulu, England (675 mata) dan mengatasi Ireland Utara (572 mata), Australia (566 mata) dan Austria (544).

Beliau berkata bagi pasukan wanita, Australia di tempat pertama dengan 678 mata, diikuti England (663), Austria (657) dan Malaysia (510).

"Skuad campuran pula mengumpul 633 mata di belakang England (720) dan mengatasi Australia (631), Austria (571) dan Amerika Syarikat (467). Ia adalah satu kebanggaan,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata MDF telah selesai memilih senarai pemain bagi ketiga-tiga kategori sukan itu yang akan mewakili negara di Kejohanan Dodgeball Asia di Hong Kong pada Oktober nanti.

Katanya 60 peratus daripada pemain merupakan muka lama manakala 40 peratus adalah muka baharu dan kini mereka sedang menjalani latihan intensif sebelum latihan 'team building'.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel