lGi8Pg90-Z0 Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah mangkat
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah mangkat


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Malaysia hari ini dikejutkan dengan berita kemangkatan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di Institut Jantung Negara, di sini. 

Almarhum Sultan Ahmad Shah menghembuskan nafas terakhir pada 8.50 pagi di usia 88 tahun, menurut  Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Almarhum yang diputerakan pada 24 Okt 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan merupakan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Jenazah almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dikafankan di Istana Negara di Kuala Lumpur, di mana beberapa anggota kabinet termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sempat memberi penghormatan terakhir, sebelum diterbangkan ke Pangkalan Udara Kuantan petang tadi. 

Sebaik tiba di bumi Pahang, jenazah almarhum Sultan Ahmad Shah dibawa ke persada di balairung Istana Abu Bakar di Pekan pada 9.20 malam ini bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memberi penghormatan terakhir sehingga 9 pagi esok. 

Penghormatan terakhir oleh kerabat dan orang kenamaan pula akan bermula 11 pagi esok sebelum jenazah almarhum dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah untuk solat jenazah dan dijadual dimakamkan selepas  Zohor di Makam Diraja, Pekan. 

Bagi menghormati kemangkatan baginda, kerajaan Pahang mengumumkan tempoh berkabung selama 40 hari bermula 12 tengah hari tadi, di mana dalam tempoh itu bendera negeri akan dikibar separuh tiang selain tiada acara keraian atau hiburan dibenarkan untuk tempoh tiga hari pertama hingga 12 tengah hari Sabtu ini.

Anggota kerabat Pahang pula akan berkabung selama 100 hari. 

Kerajaan negeri turut mengisytiharkan cuti umum esok berikutan kemangkatan itu.   

Dalam pada itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah turut menitahkan semua bendera di negeri itu dikibarkan separuh tiang sehingga selesai istiadat pemakaman.  

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar turut mengumumkan bendera Malaysia perlu dikibarkan separuh tiang mulai hari ini hingga esok bagi menghormati kemangkatan Almarhum baginda. 

Usai khabar dukacita itu tersebar luas, masyarakat pelbagai lapisan dan latar belakang menghujani platform media sosial bagi menzahirkan dan merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat Diraja Pahang selain mengajak rakyat untuk mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat Allah SWT.

Almarhum Sultan Ahmad Shah yang bertakhta di tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun merupakan seorang raja yang sangat disegani rakyat kerana keperibadian almarhum yang merendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat terutama ketika rakyat dilanda musibah atau kesusahan.

Baginda pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984 dan sebelum itu dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Sept 1975. 

-- BERNAMA 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel