FCHIJJLPLWY Kemangkatan Sultan Ahmad Shah kehilangan besar buat warga seni
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kemangkatan Sultan Ahmad Shah kehilangan besar buat warga seni


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Institut Jantung Negara, di sini pagi tadi turut dirasai golongan artis dan penggiat seni yang lantas menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas kepergian baginda.

Menyifatkan Almarhum seorang Raja yang rapat dengan penggiat seni, pengarah filem dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki berkata warga seni kehilangan seorang raja yang sangat peka kepada hal ehwal dan perkembangan dunia seni tanah air.

“Contohnya hujung tahun lepas, ketika arwah ibu saya berada di IJN, saya terserempak dengan baginda dan Almarhum sempat bertanyakan khabar ibu saya walaupun baginda sedang gering… baginda memang raja yang berjiwa rakyat dan kawan kepada semua seniman di negara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama menerusi WhatsApp.

Pelakon Datuk Fizz Fairuz turut menzahirkan dukacita dengan kepergian Almarhum yang pada pandangan peribadinya adalah seorang raja yang kasih sayangnya pada rakyat tidak berbelah bagi.

“Sebagai rakyat Pahang, saya mengenali Almarhum dan kaum kerabat dengan dekat, dan mereka memang dekat dan sangat mesra dengan rakyat… kehilangan yang sangat dirasai dan sukar dicari ganti.

“Kita pohon rakyat Malaysia dan Pahang sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa semoga roh Almarhum ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” kata anak jati Raub itu.

Usahawan terkenal, Datuk Aliff Syukri turut berdukacita atas kepergian baginda mengimbau peribadi Almarhum Sultan Ahmad Shah yang ceria dan tidak terikat dengan protokol ketika bertemu rakyat.

“Sultan (Ahmad Shah) ini adalah seorang yang ceria. Seperti kita tahu baginda sangat banyak membantu rakyat khususnya di negeri Pahang.

“Baginda selalu turun padang dan saya tak sangka, saya baru sahaja jumpa baginda tempoh hari dan saya doakan baginda ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” kata anak jati Kuala Lipis itu ketika dihubungi.

Presiden Eksekutif Kumpulan KRU yang juga pemuzik terkenal tanah air, Datuk Norman Abd Halim mahu jasa dan bakti Almarhum Sultan Ahmad Shah sentiasa dikenang penggiat seni.

“Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Penyanyi veteran, Datuk ND Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah Salleh yang terkenal dengan lagu ‘Assalammualaikum YB (Yang Berhormat) mengimbau kenangan beberapa kali membuat persembahan di hadapan baginda.

“Pernah Almarhum Tuanku panggil saya dan Almarhum beritahu pada Menteri Besar Pahang sambil bergurau… inilah dia N.D Lala yang selalu mengata-ngata tentang YB melalui lagu dia,” titah baginda sambil ketawa,” katanya.

Penyanyi itu juga menyifatkan prinsip 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' sangat tepat menggambarkan peribadi Almarhum yang sentiasa prihatin dengan kesusahan rakyat terutama ketika ditimpa musibah termasuk banjir.

“Kita lihat apa saja masalah rakyat Almarhum Tuanku lebih dahulu sampai… ketika banjir Almarhum sanggup mencemar duli merandok air pergi membantu mangsa-mangsa banjir, ketika hujan pun Almarhum sanggup bersama-sama rakyat. Semoga Allah tempatkan Almarhum bersama orang-orang yang beriman,” katanya.

Sementara itu, penyanyi malar hijau, Datuk Nassier Wahab berkata ‘Kisah Seorang Biduan’ dan ‘Biarlah Bulan Bicara’ merupakan antara lagu kegemaran Almarhum yang sering menjadi permintaan baginda ketika memanggilnya membuat persembahan di majlis keraian.

"Sememangnya kemangkatan baginda adalah kehilangan yang sangat besar buat saya,” katanya.

Produser dan dramatis terkenal, Datuk Ziela Jalil menyifatkan kepergian Almarhum pada bulan Ramadan dan sambutan Hari Nuzul al-Quran hari ini satu perjalanan yang cukup ‘indah’.

“Baginda seorang raja yang berjiwa rakyat dan beliau disayangi oleh rakyat Pahang… rakyat mendoakan baginda pada hari yang mulia… susah kita nak jumpa raja yang berjiwa rakyat dan penyayang seperti  Almarhum.

“Bukan baginda sahaja yang sangat dekat di hati rakyat malah anakanda-anakanda baginda serta kerabat Diraja Pahang, mereka memang baik-baik,” katanya yang sempat menziarahi jenazah Almarhum di Istana Negara, petang tadi.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel