Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Inovasi 'pads-clay' layakkan SMK Panji alam terima empat anugerah antarabangsa


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





KUALA NERUS, 22 Mei (Bernama) -- Pasukan inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam memenangi empat anugerah utama dalam pertandingan bertaraf antarabangsa 11th European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT 2019) yang berlangsung di Palace Culture, Romania pada 16 hingga 18 Mei lalu.

Lebih membanggakan, SMK Panji Alam yang termasuk dalam kategori sekolah harian biasa mampu mengetepikan 635 pasukan lain dari 100 negara yang bertanding bagi merebut pengiktirafan itu.

Empat kategori yang dimenangi termasuk Gold Medal Award Euroinvent, Special Award Corneliu Group Romania, Special Honour of Toronto Invention Society Canada dan Special Prize Award Euroinvent yang merupakan pengiktirafan tertinggi dalam pertandingan itu.

Pengetuanya, Che Engku Noraien Che Engku Mahmood berkata empat anugerah itu diperoleh melalui produk inovasi 'Pads Clay For Dyes Treatment Water Treatment' yang dicipta menggunakan bahan-bahan dari sumber semulajadi seperti jerami padi dan tanah liat.

"Pasukan yang diketuai oleh guru sains, Wan Salasiah Wan Sulaiman ini turut dianggotai oleh empat guru lain dan juga lima pelajar sains dari Tingkatan Lima yang berbakat besar dan cemerlang dalam pelajaran.

"Mereka mengambil masa kurang dari tiga bulan untuk menghasilkan pads-clay dengan bantuan daripada Dr Rahman Hassan, iaitu pensyarah dari Fakulti Rekabentuk Industri Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di LTASM di sini, hari ini.

Menurut Wan Salasiah, inovasi pads-clay berfungsi untuk merawat air yang tercemar akibat penggunaan pewarna dalam industri pembuatan batik, menggunakan jerami yang 99 peratus komposisinya bersifat antibakteria yang dapat merawat kandungan air sekali gus menghalang aktiviti pencemaran.

"Kami amat bertuah kerana mendapat sokongan dari mentor, UniSZA yang bukan sahaja memberi khidmat nasihat, malah membenarkan kita menggunapakai peralatan serta fasiliti mereka seperti ketuhar dan alat untuk menguji tahap kebersihan air.

"Ini kerana kelengkapan di sekolah amat terhad yang menyukarkan kita membuat tugas-tugas penyelidikan dan sebagainya," katanya.

Katanya terdapat lima syarikat  dari Kanada, Amerika dan Croatia yang menunjukkan minat untuk menggunapakai inovasi berkenaan.

    -- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel