Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rawatan alternatif selamatkan kaki tukang rumah


Tarikh kemaskini: 22/05/2019




TUMPAT, 22 Mei (Bernama) -- Kaki kanan seorang tukang rumah  Hamizi Hamzah, 39, hampir dipotong oleh doktor akibat luka teruk dan bernanah sehingga nampak daging berpunca daripada gigitan ulat bulu ketika mencari tiram dua bulan lalu.

Namun untuk ikhtiar terakhir  bagi menyelamatkan kakinya beliau mencari rawatan alternatif dan  disarankan oleh seseorang supaya mengguna kapsul debu tulang angsa putih bagi merawat luka kakinya itu. 

"Oleh  kerana kami tidak mampu membelinya yang berharga RM150 untuk 20 biji isteri saya memproses sendiri debu tulang angsa putih itu," katanya di Kampung Telaga Lanas ketika Program  Sumbangan Kita Kongsi Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di kampung itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Muhammad Imran Mansor; Ketua Pegawai Eksekutif Royal Guest House (RGH), Raja Rusmin Raja Mahmud; Pengarah Operasi Kelantan Creative TV (KCTV), Norazwatul Akmal Kasmuri dan Setiausaha KEMUDI, Rosmiza Kasim.

Isteri Hamizi, Siti Nurul Ain Supian, 30, berkata beliau membeli angsa putih dengan harga RM100 seekor dan memprosesnya dengan melapah daging dan mengambil tulangnya sahaja.

"Kemudian, saya jemur hingga tulang itu kering dan berwarna putih, setelah itu, ia dibakar di atas dapur arang, akhir sekali saya  kisarkannya  sehingga menjadi debu dan dimasukkan ke dalam kapsul," katanya.

Menurutnya, setelah makan kapsul tulang itu dua bulan lalu, luka teruk pada kaki suaminya kelihatan semakin pulih dan kini kurang bernanah.

"Suami kata sakitnya kian pulih, tidak lagi rasa berdenyut dan bengkak pun sudah surut, tinggal lagi sedikit luka yang semakin kering," katanya.

Program Kita Kongsi itu  juga sempat melawat dua keluarga asnaf, Mohd @  Mohd Zain Idris, 70, yang mana empat anaknya mengalami masalah mental dan ibu tunggal, Asnah Mamat, 48, tinggal di rumah sewa yang sudah usang di Wakaf Bharu, di sini.

Bagi Muhammad Imran, program Kita Kongsi sangat baik sempena bulan Ramadan kerana dapat berkongsi bantuan untuk golongan yang memerlukan.

"Kita lihat masih ramai golongan seperti ini yang memerlukan kemudahan asas seperti rumah dan makanan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel