Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

18 barangan disenarai dalam skim harga maksimum musim perayaan Aidilfitri, Gawai


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





KUCHING, 22 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan 18 barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersempena Aidilfitri dan 14 barangan untuk Hari Gawai Dayak yang akan disambut pada Jun ini.

Pengarah KPDNHEP Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata skim itu berkuat kuasa pada 25 Mei hingga 7 Jun untuk Hari Gawai dan 21 Mei hingga 19 Jun untuk Aidilfitri mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya barangan harga terkawal tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, daging lembu import, cili kering, tomato, kubis bulat import (Indonesia dan China kecuali jenis Beijing), kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India), bawang besar import, bawang putih (China), ubi kentang import (China), ikan kembung dan ikan selayang.

Sempena perayaan Gawai, tiga lagi barangan di bawah SHMMP ialah babi hidup (dikawal di peringkat ladang), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

“Selain itu, peniaga juga perlu memastikan setiap alat timbang dan sukat yang digunakan untuk berniaga harus memiliki pelekat yang disertakan dengan tarikh luput ditentusahkan, kapasiti timbang, dan nombor siri alat penimbang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan program pemeriksaan alat timbang sukat di medan niaga Satok di sini hari ini.

Beliau berkata pengguna juga berhak untuk memastikan setiap penimbang yang digunakan oleh peniaga memiliki pelekat berkenaan serta tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas peniaga yang memiliki dan menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan oleh pihak KPDNHEP.

Katanya, pihak kerajaan dan agensi penguat kuasa memandang serius perkara ini supaya para peniaga sedar bahawa alat timbang mereka perlu ditentusahkan dan undang-undang telah pun dikuatkuasakan.

Beliau berkata sejak 1 Januari hingga 16 Mei tahun ini, sebanyak 137 kes rampasan alat timbang dan sukat di Sarawak telah dilaporkan dengan nilai rampasan RM68,725 dan nilai kompaun berjumlah RM27,950.

Peniaga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 14 (6) Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan denda tidak melebihi RM40,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau alat timbang atau sukat boleh dirampas.

Tan berkata orang awam boleh menyuarakan sebarang pertanyaan atau aduan dengan menghubungi pusat panggilan KPDNHEP di talian 1800 886 800.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel