Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penjawat awam Terengganu terima bonus raya RM400


Tarikh kemaskini: 21/05/2019





KUALA TERENGGANU, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu hari ini mengumumkan pemberian bonus raya RM400 seorang kepada seramai 12,700 penjawat awam negeri melibatkan penjawat gred 54 ke bawah.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia turut melibatkan pekerja kontrak serta kakitangan adhoc ,dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM5.1 juta yang akan dibayar bersama gaji akhir bulan ini.

"Kami akui memang jumlahnya berkurangan sedikit berbanding tahun lalu kerana kerajaan sedang jalankan proses pemotongan secara keseluruhan dalam perbelanjaan negeri.

"Ia mengambil kira hasil penerimaan kami juga telah dipotong oleh pusat, maka ia turut memberi kesan kepada unjuran negeri dari segi perbelanjaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Beyond The Moon: 50th Anniversary Of Moon Landing' di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Rosman Roslan.

Program kerjasama antara kerajaan negeri dan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur itu bertujuan memberi pendedahan serta menanam minat pelajar terhadap sains angkasa lepas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad Samsuri turut meminta supaya pihak berkuasa dan keselamatan supaya memantau penjualan mercun bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Semalam seorang pelajar Tingkatan Satu dari Besut putus lima jari akibat bermain mercun. Jadi saya harap pihak berkuasa yang terlibat dalam bidang kuasa masing-masing tingkatkan pemantauan bagi mengekang penjualan mercun yang berbahaya,” katanya.

Ahmad Samsuri juga mengingatkan ibu bapa supaya menasihatkan anak masing-masing mengenai bahaya mercun dan menjaga keselamatan masing-masing.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel