Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sahruddin harap projek RTS diteruskan


Tarikh kemaskini: 21/05/2019





JOHOR BAHRU, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri berharap agar projek Sistem Transit Rapid (RTS) diteruskan meskipun pembinaannya berdepan dengan penangguhan sehingga 30 September tahun ini, dalam usaha menangani kesesakan lalulintas di Tambak Johor akan dapat diatasi.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal yang maklum mengenai penangguhan projek berkenaan berkata besar harapan kerajaan negeri agar ia dapat dilaksanakan.

“Kita sedia maklum ( perjanjian tambahan Malaysia dan Singapura untuk menggantung pembinaan), namun harapan kami di Johor agar projek RTS dapat diteruskan.

“(Kerana) memang ramai rakyat Johor yang setiap hari bekerja (dan ulang-alik) ke Singapura. Jadi ia menjadi harapan kami,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Raya Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penangguhan projek laluan RTS yang ditandatangani antara kedua-dua buah negara di Singapura, pagi tadi.

Dr Sahruddin juga berkata kerajaan negeri turut mengalu-alukan cadangan pembinaan jambatan ketiga yang pernah diutarakan oleh bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

“RTS pun kami nak, nak tambah jambatan ketiga pun dialu-alukan. Apapun pembangunan yang bertujuan untuk keselesaan rakyat Johor ulang-alik ke Singapura, kerajaan negeri sangat alu-alukan,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri berkata tempoh penangguhan itu boleh memberi masa untuk mencari kaedah pelaksanaan projek, termasuk reka bentuk dan kos bagi memastikan tambang RTS dikenakan secara berpatutan.

“RTS akan mengatasi masalah kesesakan, memberi kesan positif kepada ekonomi Johor dan bukti Malaysia-Singapura boleh bekerjasama dalam menyelesaikan masalah bersama.

“Diharap kerjasama akan berterusan dalam pembangunan bidang lain dalam semangat jiran dan kepentingan  bersama,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri Tenang itu, ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, beliau berkata Johor dan Singapura perlu menjadikan kekuatan dan kelebihan untuk kemajuan, termasuk memajukan perkhidmatan feri yang ketika ini menyambung beberapa jeti di kedua-dua negara.

“Saya yakin apabila (RTS) siap kelak, industri pelancongan juga akan menerima kesan baik,” tambah Mohd Solihan.

Terdahulu, seramai 100 pelajar UTM yang berasal dari keluarga isi rumah berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan raya berupa wang tunai.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel