Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka tubuh jawatankuasa penasihat Taska sektor awam


Tarikh kemaskini: 21/05/2019





MELAKA, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan jawatankuasa penasihat pelaksanaan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) tempat kerja sektor awam bagi menyelaras dan menyediakan khidmat nasihat serta bimbingan.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Hal Ehwal Orang Asli Melaka Ginie Lim Siew Lin berkata jawatankuasa itu akan dianggotai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka serta Jabatan Kesihatan Melaka.

"Inisiatif ini bertepatan dengan hasrat kerajaan bagi menyediakan kemudahan kepada ibu bekerjaya yang khuatir dengan pelbagai risiko untuk meninggalkan anak mereka dalam jagaan pengasuh.

"Ini sekaligus memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk memantau keselamatan anak mereka secara lebih dekat sekaligus mengelakkan prestasi mereka terjejas," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan geran penyediaan Taska tempat kerja sektor awam di Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada majlis itu, enam agensi iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Jabatan Pengangkutan Jalan, Ibu Pejabat Kontinjen Bukit Beruang, Politeknik Merlimau, Kolej Universiti Islam Melaka dan Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh menerima geran penyediaan Taska berjumlah RM924,400.

Turut hadir Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik.

Lim berkata geran itu diharap dapat membantu agensi terbabit menyediakan taska di tempat kerja terutama daripada segi penyediaan tempat, peralatan dan latihan yang diperlukan.

Beliau berkata semua pihak perlu berganding bahu memainkan peranan masing-masing dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan bagi membantu kakitangan awam mengatasi masalah berkaitan penjagaan anak ketika keluar bekerja seterusnya meningkatkan produktiviti mereka.

"Sebagai rekod, 11 agensi di negeri ini menyediakan fasiliti TASKA di bangunan mereka yang lapan daripadanya merupakan sektor awam dan selebihnya swasta," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel