Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk bukan Sarawak nantikan Ramadan, Aidilfitri di Sarawak


Tarikh kemaskini: 21/05/2019





KUCHING, 21 Mei (Bernama) -- Berada jauh dari keluarga dan kampung halaman semasa Ramadan menjadi cabaran besar yang dilalui oleh sesetengah orang terutama mereka yang berasal dari Semenanjung Malaysia yang bekerja atau melanjutkan pelajaran di Sarawak.

Satu tinjauan oleh Bernama menunjukkan bahawa mereka begitu teruja dengan kesederhanaan masyarakat Islam di negeri ini menjalani ibadah puasa dengan kebudayaan dan adat yang unik, yang menjadikan mereka seolah-olah berada di kampung halaman.

Lans Korporal, Nur Hawanie Abdul Jalil, yang berasal dari Teluk Intan, Perak, berkata, ia satu pengalaman mencelik mata bagi beliau yang dapat berpuasa dan berHari Raya di Sarawak kerana kepelbagaian kaum turut meraikan sambutan hari raya dengan semangat perpaduan dan ukhuwah.

“Dari segi makanan, saya masih boleh menikmati hidangan istimewa dari Semenanjung seperti ‘nasi kerabu’, ‘nasi kandar’, dan ‘kuih akok’ dibeli di bazar Ramadan tempatan di sini, yang juga menawarkan pelbagai makanan tradisi Sarawak,” kata polis wanita berumur 30 tahun itu, yang telah bekerja di Sarawak selama enam tahun.

Sementara itu, seorang guru sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Mejar Jeneral Dato Ibrahim, Mursyida Azizan, 33, berkata meskipun berjauhan dari kampung halaman selama tujuh tahun lepas, beliau masih menanti-nantikan sambutan Aidilfitri di sini.

Beliau berkata, apa yang amat dikaguminya ialah sambutan perayaan itu yang akan berlangsung selama sebulan turut dihidangi dengan pelbagai jenis kek lapis di setiap rumah menjadikannya suatu yang unik berbanding sambutan di kampung halamannya di Gurun, Kedah.

Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Mohammad Aiman Hamli, 22, berkata, beliau sungguh terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh pelajar bukan Islam,

“Apa yang menyentuh hati saya ialah alangkah besarnya toleransi pelajar, kakitangan dan pensyarah  bukan Islam di sini, yang menunjukkan kesopanan dan penghormatan penduduk Sarawak kepada bukan Sarawak, katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Pertunjukan dron menerangi langit Langkawi

 
     

"Permaisuri Zarith Sofiah Opera House" bakal jadi pusat seni dan budaya di JB

 
     

Skim perlindungan keselamatan sosial untuk rakyat Malaysia bekerja di Singapura bakal diperkenal

 
     

Kerajaan Perak peruntuk RM70,000 pasang 10 mesin AED

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel