Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KADA galak rakyat Kelantan tanam kopi


Tarikh kemaskini: 21/05/2019





TUMPAT, 21 Mei (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mahu menggalakkan penduduk Kelantan menanam kopi sebagai usaha mengembangkan industri itu berikutan 'trend' di seluruh dunia yang meminati minuman berkenaan.

Pengerusinya, Senator Datuk Husam Musa berkata, bagi menjayakan galakan itu, pihaknya bercadang untuk berbincang dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi penyediaan biji benih kopi.

"KADA bersama Kelab Kopi Kelantan boleh menjayakan galakan ini, manakala MARDI pula boleh menyediakan benih dan anak pokok untuk diagihkan kepada rakyat Kelantan.

"Apabila kopi ini dihasilkan, ia boleh dibekalkan kepada pengilang untuk mendapatkan hasil kopi kampung yang ada jenama sendiri, sekaligus dapat memajukan pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya  pada Majlis Makan Colek dan Pelancaran Lojing Cofffe di Wakaf Bharu di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Pembangunan KADA Nik Roslan Idris dan Pemilik Lojing Coffee, Wan Izzuddin Wan Sulaiman.

Husam berkata, usaha itu akan bermula dari tanaman, pengilangan, pemprosesan, pemasaran dan outlet di mana Malaysia mengimport kopi bernilai RM1bilion setahun.

"Kita menjangkakan, Kelantan dapat menghasilkan kopi bernilai RM10 juta hingga RM50 juta setahun. Jumlah itu sudah menyumbang kepada punca pendapatan rakyat dan mewujudkan rangkaian nilai dalam industri kopi," katanya.

Beliau berkata, pada masa sekarang, pihaknya belum ada rancangan khusus dan berhasrat selepas Hari Raya Aidilfitri ini akan berbincang dengan pihak berkenaan termasuk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan MARDI untuk bekalan anak benih.

"Menteri Pertanian akan datang esok (petang ini), kita akan bincang dengan beliau supaya tanaman kopi dapat disediakan dan menjadikan Kelantan sebagai negeri pertama bagi tanaman ini," katanya.

Menurut Husam, penanaman kopi sebenarnya sudahpun dijalankan secara kecil-kecilan di kampung-kampung, cuma usaha berkenaan tidak dikomersialkan atas pelbagai sebab.

"Dengan adanya outlet yang canggih dan pengilang kopi yang berjaya termasuk dua di bawah KADA, kita boleh majukan industri ini. Saya hanya cadang beri anak kopi kepada petani yang sudah ada dusun tanam di halaman rumah," katanya.

Tambah beliau, kalau ada pihak berminat mahu meneruskan usaha itu, barulah pihaknya berbincang secara berasingan, sama ada boleh jadikan kopi sebagai tanaman utama atau sampingan.

Pada peringkat awal, KADA akan beri galakan, buka mata dan minda mereka supaya tidak terlepas dalam industri kopi yang berkembang seluruh dunia.

"Kalau sekiranya MARDI boleh bekalkan anak benih secara percuma, KADA akan bagi percuma... untuk permulaan kita mahu ada galakan terlebih dahulu," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel