Pemuda UMNO tak sependapat dengan Tebrau supaya Ahmad Zahid terus bercuti
Tarikh kemaskini: 20/05/2019

KEPALA BATAS, 20 Mei (Bernama) -- Pemuda UMNO hari ini menolak gesaan Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang supaya presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus bercuti atau melepaskan jawatan demi kepentingan parti berkenaan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan itu tidak mencerminkan pendirian UMNO secara keseluruhan dan sayap itu tidak pernah membincangkan perkara berkenaan status presiden mereka.
"Itu hanya pandangan peribadi, bukannya mewakili suara akar umbi UMNO...bagi kami adalah baik kita tumpukan kepada isu yang lebih utama ketika ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ihya Ramadan anjuran Pergerakan Pemuda UMNO di sini.
Maulizan hari ini menyarankan Ahmad Zahid terus bercuti dan tidak mengambil semula tugas sebagai presiden kerana parti itu kini lebih diyakini rakyat di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Hassan.
Menurut Maulizan, langkah itu perlu susulan wujud gerakan daripada penyokong Ahmad Zahid yang mahu membawa balik beliau daripada bercuti dan mengambil semula tugas sebagai presiden UMNO.
Pada Disember lalu, Ahmad Zahid, yang juga bekas timbalan perdana menteri, mengumumkan akan bercuti daripada jawatan presiden parti dan menyerahkan tugas itu kepada Mohamad.
Keputusan itu dibuat susulan Anggota Parlimen Bagan Datuk itu menghadapi 47 pertuduhan merangkumi 12 dakwaan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgi milik Yayasan Akalbudi.
-- BERNAMA
|