Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perak bakal kuat kuasa larangan bina menara pemancar atas bangunan


Tarikh kemaskini: 20/05/2019





IPOH, 20 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak akan menguatkuasakan larangan pembinaan menara pemancar telekomunikasi di atas bangunan di seluruh negeri tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata perkara itu telah diputuskan dalam Majlis Penasihat Pembangunan Telekomunikasi dan Multimedia (MPIT) pada 16 Mei lalu dan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk diluluskan.

"Kami telah memutuskan tidak akan ada lagi pembinaan menara pemancar di atas bangunan kerana kami mahu ia dibina di atas tanah.

"Ini bagi memudahkan kami untuk melakukan pemantauan ke atas menara pemancar yang ada di negeri ini kerana tidak mahu lagi adanya menara pemancar telekomunikasi yang dibina secara haram," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Laman Seri Ridzuan, Kediaman Lama Menteri Besar di sini malam ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan meminta syarikat telekomunikasi (Telco) supaya selepas ini membina menara pemancar telekomunikasi di atas tanah.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain berkata rakyat di negeri ini tidak perlu bimbang dengan kadar radiasi pancaran menara dan struktur pemancar telekomunikasi kerana mengikut amalan keselamatan dan piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata tindakan pihak tertentu yang membantah pembinaan menara telekomunikasi atas alasan mengundang penularan kadar radiasi tinggi, sebenarnya tidak berasas kerana pancaran gelombang radiasi dihasilkan menara telekomunikasi sangat rendah dan dijamin selamat.

"Tidak lama lagi, Perak akan menerima kemudahan teknologi 5G dan saya berharap rakyat tidak perlu bimbang dengan pembinaan lebih banyak lagi menara pemancar telekomunikasi kerana ia tidak akan memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan.

"Jadi, saya minta rakyat memberi kerjasama kepada syarikat Telco dalam usaha kerajaan negeri memberi kemudahan yang terbaik kepada rakyat dalam aspek telekomunikasi,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel