Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

32,951 rumah mampu milik siap dibina sejak tiga bulan pertama 2019


Tarikh kemaskini: 20/05/2019





CHUKAI, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyiapkan 32,951 unit kediaman Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata daripada jumlah itu, bilangan tertinggi adalah di Kuala Lumpur sebanyak 7,390 unit diikuti Perak 5,688 unit; Putrajaya (4,999); Kedah (4,815); Selangor (3,777); Johor (1,964) dan Pahang (1,884).

"Pakatan Harapan (PH) sasarkan untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun iaitu 100,000 setahun. Tetapi dalam tempoh setahun sahaja kami telah melepasi sasaran dan telah sediakan 360,000 unit kediaman yang telah dimulakan pembinaan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Pusat Latihan Vokasional dan Teknikal Sistem Binaan Berindustri (IBS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPKT Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu Dr Alias Razak.

Pusat latihan IBS di Kijal, Kemaman itu adalah yang pertama di negara ini yang dijalankan secara usahasama antara syarikat gergasi pembinaan IBS Dunia, Sany Construction Industry (SCI) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Sebanyak 150 pelatih peringkat pertama akan dipilih mengikuti latihan selama tiga bulan bermula awal Julai depan dengan 15 orang daripadanya ditaja oleh SCI.

Menurut Zuraida, kewujudan pusat terbabit akan melahirkan lebih ramai tenaga teknikal dan pakar dalam industri IBS dalam kalangan anak tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada tenaga buruh asing dalam sektor pembinaan sekurang-kurangnya 40 peratus.

"Dengan teknologi IBS, kita tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai kerana kerja 1,000 orang dapat dilakukan oleh hanya 90 pekerja sahaja. Ini juga akan membantu mempercepatkan pembinaan satu juta RMM yang kita sasarkan dengan kos yang lebih murah melalui teknologi moden serta efisien," katanya.         

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel