Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bantuan persediaan Syawal golongan asnaf mualaf di Melaka meningkat RM100


Tarikh kemaskini: 20/05/2019





MELAKA, 20 Mei (Bernama) -- Nilai bantuan persediaan Syawal untuk golongan asnaf mualaf di Melaka bagi dewasa dan kanak-kanak masing-masing meningkat sebanyak RM100 pada tahun ini kepada RM450 dan RM150 berbanding RM350 dan RM50 pada tahun lepas.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata bantuan itu membabitkan 2,500 penerima terdiri daripada 2,400 penerima dewasa dan 100 penerima kanak-kanak dengan jumlah peruntukan RM1.04 juta.

Kenaikan nilai bantuan itu selaras dengan peningkatan jumlah hasil kutipan zakat pada tahun lepas iaitu RM2.2 juta kepada RM87.8 juta berbanding RM85.6 juta pada 2017. 

"Bantuan yang diagihkan ini disalurkan melalui Majlis Agama Islama Melaka (MAIM), bertujuan meringankan beban rakyat dalam persiapan menyambut Syawal dan ia diagihkan kepada mereka yang layak secara berperingkat.

"Pada majlis ini kita mengagihkan kepada 304 penerima terdiri daripada 286 dewasa dan 18 kanak-kanak dari Perlimen Hang Tuah Jaya membabitkan peruntukan RM131,400," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persediaan Syawal kepada Asnaf Mualaf MAIM di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha MAIM, Azman Aziz dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka Azhan Samat.

Mengulas lanjut, Adly berkata Kerajaan Negeri berharap nilai bantuan itu akan dapat ditingkatkan pada tahun hadapan sekiranya kutipan zakat di negeri ini mencatatkan peningkatan.

"Ia adalah sebahagian daripada harapan kita dalam melaksanakan program kebajikan kepada rakyat terutama golongan asnaf mualaf ini yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada kita selain sebahagian daripada tanggungjawab MAIM kepada masyarakat Islam," katanya.

Beliau berkata, umat Islam dinasihat supaya membayar zakat fitrah yang ditetapkan pada kadar RM7 dan RM14 bagi tahun ini kepada amil yang mempunyai kad kuasa dan resit bayaran sah yang dikeluarkan MAIM bagi mengelakkan penipuan.

Sementara itu, Kerajaan Negeri sedang membuat analisis secara menyeluruh terhadap kewangan anak syarikatnya termasuk di bawah MAIM bagi mengenal pasti potensi atau status anak syarikat terlibat selain memastikan ia dapat menyumbang kepada Kerajaan Negeri seterusnya dikembalikan kepada rakyat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel