Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPM diminta segera baikpulih dewan SKPK Prince Elizabeth dimakan anai-anai


Tarikh kemaskini: 20/05/2019





JOHOR BAHRU, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan diminta menyegerakan proses baikpulih struktur dewan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Prince Elizabeth di sini, yang keadaannya semakin teruk akibat dimakan anai-anai.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata keadaan dewan berkenaan yang dilihat boleh membahayakan murid-murid, telah ditutup hampir setahun setelah isu itu dikesan dan pihak KPM di bawah bahagian pendidikan khas juga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Malahan kayu alang-alang (kayu penyokong bumbung) di bumbung dewan berkenaan telah patah. Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga memberi surat bahawa dewan berkenaan tidak boleh digunakan lagi kerana ia boleh membahayakan orang ramai.

“Justeru itu, saya mengharapkan supaya pihak berkaitan dapat bertindak segera untuk membantu keselesaan pelajar di pendidikan khas ini, seperti mana kita tahu ia menempatkan ramai kanak-kanak buta, jadi keperluan untuk menjaga keselamatan mereka itu sepatutnya amat diutamakan," katanya kepada pemberita  ketika membuat tinjauan di sekolah berkenaan di sini, hari ini, yang turut dihadiri Guru  Besar SKPK, Mohd Dini Karim.

Aminolhuda berkata disebabkan masalah anai-anai, banyak program di sekolah berkenaan perlu dilakukan di bangunan lain memandangkan ia tidak lagi selamat.

Sementara itu, Mohd Dini berharap pihak kementerian dapat segera membantu memandangkan sekolah berkenaan juga telah berusia 60 tahun.

Menurut beliau, masalah anai-anai di dewan berkenaan dikesan semenjak dua hingga tiga tahun lepas, malahan penyelenggaraan dan pembasmian anai-anai di bahagian struktur bawah bangunan sudah dilakukan, namun ia terus merebak sehingga ke bahagian bumbung.

“Sekolah sentiasa memohon bantuan untuk penyelenggaran dan pembasmian anai-anai, jadi peruntukan memang setiap tahun diturunkan tetapi kita buat pembasmian di bawah, anai-anai naik pula ke atas,” katanya yang menjelaskan dewan berkenaan mampu menempatkan kesemua 53 pelajarnya bagi aktiviti  perhimpunan,  pengajaran dan pembelajaran serta pelbagai majlis dan program.

Mohd Dini turut khuatir yang dewan makan dan beberapa bangunan lain di sekolah itu mengalami masalah yang sama (diserang anai-anai).

“Bagi dewan makan, kita tidak tahu kedudukan di atas sebab ia ditutup dengan siling. Kontraktor juga sudah dipanggil tetapi mereka tidak berani untuk membuat penilaian sebab sudah bergoyang, ia berisiko,” katanya dan menambah bahawa terdapat 50 pegawai dan guru di sekolah berkenaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel