Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Petani Keningau wajib miliki sijil myGAP


Tarikh kemaskini: 20/05/2019





KENINGAU, 20 Mei (Bernama) -- Petani mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan di daerah ini diwajibkan untuk memiliki sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) bagi membolehkan hasil pertanian dieksport ke luar negara tanpa sebarang masalah.

Penolong Pegawai Pertanian Kanan Keningau Jupini Salim berkata pemilikan sijil myGAP adalah syarat penting untuk memastikan pasaran hasil pertanian tempatan dapat diperluaskan dalam skala lebih besar kerana pengimport hanya akan membeli produk diiktiraf selamat untuk dimakan.

“Tanpa sijil myGAP, pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan sukar menembusi pasaran luar negara. Bagaimanapun, kini, ramai pengusaha sudah memahami kepentingan perakuan dan pengiktirafan myGAP dengan memastikan mereka memiliki sijil tersebut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Jupini berkata mana-mana ladang memperoleh sijil myGAP diiktiraf sebagai pengeluar tanaman berkualiti dan selamat untuk dimakan berpandukan MS1784:2005 Crop Commodities-Good Agricultural Practice.

“Pengimport hanya akan membeli sayur-sayuran atau buah-buahan memiliki sijil myGAP. Justeru, pemilikan sijil itu perlu diperluaskan kepada semua pengusaha,” katanya.

Jupini berkata Jabatan Pertanian Keningau menyasarkan sekurang-kurangnya lima pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan berkapasiti tanaman di bawah 20.2 hektar memperoleh sijil myGAP setiap tahun.

Setakat ini, hanya 10 pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan di sini memiliki sijil myGAP dan mula memasarkan hasil pertanian mereka ke luar negara tanpa sebarang masalah, katanya.

Keningau adalah daerah penanaman sayur-sayuran tanah rendah terbesar di Sabah dan sebahagian besar hasil pengeluaran tanaman tersebut menyasarkan Brunei sebagai pasaran utama selain Singapura, manakala durian musang king pula disasarkan untuk pasaran ke China.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

MB Johor tegaskan Nur Dinie Damia negatif influenza A

 
     

Rangkaian kebab terbesar dunia kini di Ipoh

 
     

Peserta program bimbingan INSKEN raih jualan RM8.89 juta

 
     

Lapan nelayan hilang di perairan Tambisan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel