Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mangsa kemalangan di Semanggol dipercayai dibawa masuk sindiket


Tarikh kemaskini: 19/05/2019





BAGAN SERAI, 19 Mei (Bernama) -- Kesemua warganegara Myanmar yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gunung Semanggol pagi tadi dipercayai dibawa masuk melalui satu sindiket.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata siasatan awal pihaknya mendapati kesemua warga asing itu baru dibawa masuk ke negara ini, dipercayai melalui satu sindiket di utara tanah air.

Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera tidak boleh bertutur bahasa Malaysia serta Inggeris dan polis perlu mendapatkan khidmat jurubahasa.

"Bantuan jurucakap yang boleh bertutur dalam bahasa Myanmar ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 8 pagi itu, tiga warga Myanmar maut, tujuh cedera parah dan empat cedera ringan.

Omar Bakhtiar berkata pihaknya telah berhubung dengan Kedutaan Myanmar bagi mendapatkan bantuan menguruskan tiga warganegara yang maut dalam kemalangan itu.

Katanya pemandu dan penumpang hadapan kenderaan utiliti pelbagai guna itu telah melarikan diri selepas kemalangan dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

"Kita menubuhkan satu pasukan khas di Daerah Kerian dan Kampar bagi mengesan pemandu dan penumpang yang melarikan diri itu. Hasil siasatan mendapati pemilik kenderaan berusia 57 tahun beralamat di Kampar serta mempunyai 16 rekod saman," katanya. 

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya juga sedang mengesan cap jari dua mangsa yang melarikan diri.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Video Lucah: Beri ruang dan waktu untuk polis siasat -- KPN

 
     

Sultan Selangor rasmi pembukaan besar-besaran Central I-City

 
     

Elak minum susu kambing segar dari sebuah ladang di Pulau Indah

 
     

14 syarikat penuhi kriteria eksport buah Musang King ke China

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel