Desaru Coast bakal jadi pilihan destinasi perkahwinan pelancong luar negara
Tarikh kemaskini: 19/05/2019

KOTA TINGGI , 19 Mei (Bernama) -- Pemaju induk Desaru Coast di sini, Desaru Development Holdings Sdn Bhd, ingin menjadikan pusat peranginan bersepadu itu sebagai destinasi perkahwinan pilihan kepada pelancong luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslina Arbak berkata sasaran ditetapkan kerana yakin Desaru Coast mempunyai daya tarikan tersendiri untuk ditawarkan kepada pasangan raja sehari.
Ini termasuk kelebihannya memiliki gabungan hotel dan resort yang terkenal di dunia, pusat persidangan, taman tema air, padang golf dan kawasan pensisiran pantai yang cantik.
"Beberapa bulan yang lepas, saya ada jerayawara di India dan mereka sangat tertarik dengan destinasi perkahwinan di sini (Desaru Coast). Selain itu, mereka menunjukkan minat yang tinggi untuk melancong bersama keluarga dan menjalankan perniagaan di sini.
"Jadi, saya kira India adalah antara negara yang berpotensi menjadi pasaran terbesar Desaru Coast khususnya untuk destinasi perkahwinan,” katanya kepada Bernama selepas perasmian program, Desaru Coast Gourmet Series; Malaysian Journey Farm To Table yang dihadiri Chef Eksekutif Christopher James Miller di sini, baru-baru ini.
Roslina berkata dalam memberi tumpuan kepada pasaran luar, pasaran domestik juga tidak dilupakan memandangkan ia turut memainkan peranan sama penting kepada Desaru Coast.
“Pasaran domestik sangat penting. Walaupun bukan semasa cuti persekolahan, orang ramai tetap berkunjung ke sini untuk adakan pelbagai aktiviti termasuk persidangan, mesyuarat, program latihan dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA
|