Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemandu rentung selepas lori bertembung treler


Tarikh kemaskini: 19/05/2019





KUANTAN, 19 Mei (Bernama) --  Seorang pemandu lori rentung apabila kenderaan dipandunya terbakar selepas bertembung dengan sebuah treler membawa muatan kelapa sawit di Kilometer 18, Jalan Lipis-Merapoh-Gua Musang berhampiran Selendang di Lipis, dekat sini, hari ini. 

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku pada jam 3.30 petang tadi dan identiti mangsa masih belum diketahui memandangkan lori tiga tan jenis Isuzu itu terbakar secara keseluruhan. 

Pemandu treler berkenaan, Mohamad Tarmizi Che Mahmud, 28, dari Gua Musang, Kelantan, tidak cedera. 

"Kejadian dipercayai berlaku apabila lori Isuzu yang dari arah bertentangan secara tiba-tiba masuk ke laluan treler yang sedang dalam perjalanan dari Lipis menuju ke Gua Musang. 

"Kemalangan menyebabkan lori Isuzu itu terbalik dan terbakar bersama pemandunya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, mayat pemandu lori itu dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti identiti dan waris mangsa. 

Sementara itu, di Raub, seorang penunggang motosikal wanita maut selepas diseret beberapa meter oleh sebuah kereta Produa Kelisa di Kilometer 338, jalan alternatif Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Batu Malim pada jam 10.20 pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Norlina Mohd Nor, 55, dari Kampung Tersang, Batu Malim, yang menunggang motosikal jenis Honda AFS dikatakan ingin ke kedai berhampiran tempat kejadian. 

"Pemandu kereta yang berusia 23 tahun dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk menyebabkan keretanya memasuki laluan mangsa di arah bertentangan. Mangsa tidak dapat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat," katanya. 

Wan Mohd Zahari berkata pemandu kereta yang berasal dari Labis, Johor bagaimanapun, hanya mengalami luka-luka kecil di tangan. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel