Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bank Makanan Parlimen Kuantan bermula hujung Jun - Fuziah Salleh


Tarikh kemaskini: 19/05/2019





KUANTAN, 19 Mei (Bernama) -- Program Bank Makanan Parlimen Kuantan bagi membantu golongan kurang bernasib baik sekitar daerah ini dijangka bermula pada penghujung Jun ini, kata Anggota Parlimennya Fuziah Salleh. 

Beliau berkata setakat ini, pihaknya sedang mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) dan membaiki kelemahan yang dikesan pada tempoh percubaan yang dijalankan pada awal tahun ini. 

"Sambutan pada tempoh percubaan sangat baik dan kita berjaya mendapat ramai rakan strategik terdiri daripada pelbagai agensi termasuk pasaraya dan hotel sekitar daerah ini. 

"Saya harap SOP dapat diperkemaskan seperti prosedur pasaraya ‘sale by date’  yang memerlukan mereka menurunkan barangan yang akan tamat tempoh pada sebelah pagi, jadi kita berharap barangan itu dapat sampai ke penerima pada sebelah petang. 

"Ini membolehkan barangan makanan seperti donut dan pastri sempat dinikmati penerima," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Iftar Rahmah yang melibatkan pengagihan bubur lambuk di Padang MPK di sini, hari ini. 

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berharap program bank makanan itu juga akan mendapat penyertaan peniaga pasar tani supaya dapat mengurangkan pembaziran. 

Katanya, sepanjang bulan Ramadan, program serupa juga dilaksanakan di Kuantan iaitu MYSaveFood@Ramadan yang bertujuan mengurangkan pembaziran makanan di bazar. 

Antara agensi yang terlibat dalam program itu ialah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) Negeri Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan dan Drugs Intervention Community (DIC) Pahang. 

"Menerusi program ini, peniaga bazar Ramadan boleh meletakkan jualan mereka yang tidak habis di khemah khas untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan seperti di institusi pengajian tinggi, pusat tahfiz dan rumah anak yatim. 

"Program ini juga mendapat kerjasama empat buah hotel dan difahamkan setiap hari lebih 100 orang menerima manfaat program ini. Saya berharap semangat ini berterusan walaupun selepas tamat bulan Ramadan," katanya. 

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel