Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Adik-beradik yatim piatu galas tanggungjawab ibu, ayah


Tarikh kemaskini: 19/05/2019





KUALA NERUS, 19 Mei (Bernama) -- Rutin harian remaja berusia 15 tahun ini bermula seawal 5.30 pagi dengan melakukan pelbagai kerja rumah dan menguruskan adik bongsunya yang masih kecil, sebelum ke sekolah. 

Sejak kematian ibunya tahun lepas, Syahwanie Azliya Sahidi dan adik-beradiknya, Syahil Azem, 19; Syahwanie Azwa dan Syahwanie Azwin,16 (kembar); Syahil Azer, 14; dan Syahwanie Azrinie, 10, terpaksa menguruskan kehidupan sendiri dan menjaga adik bongsu mereka Syah Amsyar Mohammad yang berusia 11 bulan.

“Kami mempunyai tugasan masing-masing. Abang (Syahil Azem) akan menghantar dan mengambil kami dari sekolah, kakak-kakak akan memasak dan saya pula akan mengemas rumah. Kami juga bergilir menjaga adik bongsu,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan anggota Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) di rumah mereka di Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit, di sini hari ini.

Dalam kunjungan tersebut, Kawat yang diwakili Timbalan Presidennya Ahmad Syafri Husnaini Mohamad menyerahkan bantuan barangan keperluan dapur dan wang tunai kepada adik-beradik yatim piatu itu. 

Ibu mereka Norhayatie Alias meninggal dunia selepas dua bulan melahirkan Syah Amsyar, hasil perkahwinan dengan bapa tiri Mohammad Mohd Nor, 53, manakala bapa mereka Sahidi Abdullah meninggal dunia pada 2010 akibat darah tinggi. 

Kini tujuh beradik itu menetap di sebuah rumah yang disewa Mohammad dan mereka turut menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450.

Abang sulung Syahwanie Azliya, Syahil Azem terpaksa melupakan cita-citanya untuk menyambung pelajaran demi menjaga adik-adiknya.

“Pada bulan puasa ini abang (Syahil Azem) bekerja di bazar Ramadan Batu Enam dengan pendapatan RM700 dan pada bulan lain abang bekerja di kedai makan dengan gaji RM600 sebulan.

“Ayah (bapa tiri) akan balik dalam tiga atau empat hari seminggu. Dia bekerja sendiri di Setiu. Ayah juga turut memberi wang belanja selain wang pengasuh adik bongsu,” katanya yang bersyukur bapa tirinya itu masih mengambil berat tentang mereka. 

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, Syahwanie Azliya berkata guru-guru sekolah dan ibu saudara mereka telah membelikan baju raya, manakala persiapan lain masih belum dibuat.

Dalam pada itu, adik-beradik tersebut juga pernah menolak hasrat seorang individu untuk mengambil Syah Amsyar sebagai anak angkat kerana mereka tidak mahu berpisah dengan adik bongsu mereka itu.

“Kami memang sudah nekad walau apa pun terjadi biarlah kami susah dan senang bersama-sama,” katanya.

Syahwanie Azliya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk guru-gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan Zainal Abidin yang banyak memberi bantuan kepada mereka. 

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kepada adik-beradik berkenaan boleh berbuat demikian ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Syahwanie Azliya bernombor 11001-41-00006800-1. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel