Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ESSCom rampas 3,500 rokok seludup ditinggalkan di tepi pantai Tawau


Tarikh kemaskini: 19/05/2019





TAWAU, 19 Mei (Bernama) -- Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) merampas 3,500 karton rokok dibungkus dalam 14 plastik hitam yang ditinggalkan di tepi pantai, Cowie Bay, Jalan Tawau Lama di sini, malam tadi.

Komander ESSCom, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata kejayaan itu hasil daripada maklumat orang awam dan pada 10.40 malam pihaknya melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan yang disyaki digunakan penyeludup untuk memunggahkan barangan seludup.

"Apabila anggota tiba di lokasi, terdapat sebuah bot laju dan beberapa bungkusan hitam disyaki rokok seludup diturunkan di kawasan berkenaan, namun menyedari kehadiran pasukan keselamatan, bot itu bertindak melarikan diri ke arah laut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hazani berkata, anggota menemui 14 bungkusan hitam yang mengandungi 3,500 karton rokok pelbagai jenis.

"Jenama rokok yang dirampas itu terdiri daripada rokok Djarum Hitam (400), Premium Gold (500), Astro Merah (1,000), Premium Hitam (1,000) serta Menara Hitam (600)," katanya lagi.

Menurut Hazani, kesemua barangan rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, katanya ESSCom berusaha dari semasa ke semasa untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"Antara usaha itu adalah dengan meningkatkan rondaan dan kehadiran anggota ESSCom di lokasi yang disyaki menjadi sarang ataupun staging points penjenayah rentas sempadan, melakukan penyeludupan manusia dan barang-barang kawalan serta bersubsidi," katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan masyarakat agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti yang mencurigakan ataupun melanggar undang-undang negara, dengan menghubungi Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181 untuk tindakan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel