Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengguna Melaka Sentral dijangka meningkat kepada 200,000 sehari pada hari raya


Tarikh kemaskini: 18/05/2019





MELAKA, 18 Mei (Bernama) -- Jumlah pengguna di Terminal Melaka Sentral di sini khususnya yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres di terminal itu dijangka meningkat dua kali ganda kepada 20,000 orang sehari pada perayaan Hari Raya Aidilfitri berbanding 10,000 orang sehari pada hari biasa.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata peningkatan jumlah tersebut akan dapat diatasi menerusi pengoperasian Sistem Tiket Berpusat (CTS) yang bermula 1 Mac lepas.

Beliau berkata penambah baikan pelbagai infrastruktur asas seperti ruang menunggu untuk pengguna di terminal itu juga akan mengurangkan kesesakan selain memberi keselesaan kepada mereka.

"Penyediaan dan penggunaan CTS juga memberi faedah serta kelebihan kepada pengguna terminal terutamanya bagi mengelakkan kes penipuan dan ketidakseragaman harga tiket terutama pada musim perayaan dan cuti umum.

Selain itu, juga CTS mampu mengurangkan kelewatan bas serta risiko penukaran bas di saat akhir yang mana semua transaksi pembelian tiket dipantau melalui sistem teknologi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan CTS dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Skim Bencana Pekerjaan Sendiri  berjumlah RM156,728.40 meliputi pembiayaan sebanyak 997 pemandu teksi atau kereta sewa di negeri itu yang disalurkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk dicarumkan kepada mereka.

Beliau berkata bagi melancarkan pengoperasian sistem tersebut sebanyak 12 kaunter pembelian tiket termasuk satu untuk golongan Orang Kelainan Upaya dan warga emas serta 20 kiosk layan diri disediakan untuk kemudahan pengguna yang beroperasi 24 jam.

Dalam pada itu, katanya pihak Melaka Sentral Sdn Bhd turut memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi menaik taraf pembangunan di sekitar kawasan terminal secara berperingkat untuk bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah berkualiti.

Sementara itu, seorang guru, Affifah Hanie Azlan, 28,  berkata sistem yang diguna pakai di Melaka Sentral memberi keselesaan dan kemudahan kepadanya terutama untuk membeli tiket bas ekspres.

"Menerusi sistem ini, saya dapat melihat pilihan masa dan bas yang ditawarkan ke destinasi yang ingin dituju secara lebih jelas berbanding sistem terdahulu," katanya yang sering menggunakan perkhidmatan bas ekspres di terminal itu untuk pulang ke rumah ibu bapanya setiap hujung minggu di Klang, Selangor sejak Ogos tahun lepas.

Turut berkongsi pendapat, pesara kerajaan Maryani Mohd Ali, 62, berkata beliau berpuas hati dengan infrastruktur dan sistem pembelian tiket yang digunakan kerana ia lebih mudah berbanding sistem lama selain menyifatkan situasi di terminal itu seperti lapangan terbang.

"Pertama kali membeli tiket menggunakan CTS agar sukar untuk warga emas seperti saya tetapi setelah dibantu kakitangan di sini dan ada kaunter khas bagi warga emas saya tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan tiket," katanya yang ingin pulang ke Batu Pahat, Johor.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel