Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Faziani maut semasa ke Pattani untuk sumbang derma kepada pondok tahfiz


Tarikh kemaskini: 18/05/2019





TUMPAT, 18 Mei (Bernama) -- Pengasas produk kecantikan terkenal Dnars, Faziani Rohban Ahmad, 39, yang maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand awal hari ini sedang dalam perjalanan ke wilayah tersebut bersama suaminya kerana mahu menyumbangkan derma ke sebuah pondok tahfiz.

Adik mangsa, Mohd Faizul, 34, berkata Allahyarham kakak dan abang iparnya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, keluar dari rumah mereka di Wakaf Bharu di sini, kira-kira pukul 8 pagi tadi.

“Kakak baharu tiga hari pulang dari menunaikan umrah di Makkah dan selepas itu mereka ke Jakarta, Indonesia untuk berbuka puasa bersama anak yatim,” katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham di Kampung Paloh, Wakaf Bharu di sini, hari ini.

Sementara itu, anak kedua mangsa, Ainul Atiya, 18, berkata ibu dan bapanya sempat bersahur di rumah sebelum bertolak ke Thailand.

“Bapa ketika itu kelihatan penat kerana baharu pulang dari Jakarta tapi berkeras mahu memandu sendiri ke Pattani.

“Mereka kebiasaannya menggunakan khidmat pemandu dan sering bertolak ke sana pada pukul 9 pagi tapi hari ini berbeza,” katanya.

Ainul Atiya berkata mereka sekeluarga sempat berbuka puasa dan makan ‘colek’ (rojak buah) di rumah nenek yang tinggal berdekatan dengan mereka.

“Kali terakhir saya bertemu Allahyarham ketika bersahur pada pagi tadi namun ibu tidak menunjukkan apa-apa perubahan,” katanya.

Katanya, jenazah Allahyarham ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit di sini, sebaik tiba dari Pattani.

Faziani maut dalam kemalangan itu yang berlaku kira-kira 10.30 pagi manakala suaminya, Ahmad Shah Rizal pula cedera parah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel