Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

2,094 pelajar terima bantuan biasiswa Sekolah Menengah Yayasan Pahang


Tarikh kemaskini: 18/05/2019





KUANTAN, 18 Mei (Bernama) -- Raut wajah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar di sini, Nurshazwani Abd Ghani tidak dapat lekang daripada senyuman hari ini. 

Nurshazwani, 17, berkata dia tidak lagi gusar bagaimana untuk membeli buku latihan dan rujukan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini. 

Ini kerana, Nurshazwani adalah seorang daripada 2,094 penerima Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) Yayasan Pahang (YP) 2019 Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota yang disampaikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini. 

"Saya sedaya upaya tidak mahu membebankan ayah kerana sedar pendapatan sebagai pemandu lori tidak begitu besar yang perlu digunakan untuk membayar yuran tuisyen saya dan menampung tiga lagi adik. 

"Seorang lagi adik juga akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah(UPSR). Ibu pula tidak bekerja. Jadi bantuan ini besar maknanya kepada saya," katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini, hari ini. 

Seorang lagi penerima, S.Thivashinee, 14, dari SMK Tanah Putih di sini berkata bantuan itu akan digunakan untuk perbelanjaan harian sekolah, yang sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan keluarga selama beberapa bulan. 

Sementara itu, Wan Rosdy berkata semua pelajar hari ini, menerima wang tunai RM300 setiap seorang melibatkan peruntukan sebanyak RM871,200. 

Beliau berkata sejak 35 tahun lalu, YP telah membelanjakan RM290 juta bagi BSM manakala Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) yang dimulakan pada tahun 2002 melibatkan peruntukan RM74 juta.

"Kerajaan negeri sedar akan kepentingan ilmu dan kita perlu meletakkan pelajaran sebagai keutamaan jika mahu maju dan mengubah nasib keluarga, khususnya kepada mereka yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan," katanya.

Wan Rosdy berkata sejak 1983, YP telah membelanjakan RM1.2 bilion untuk membiayai biasiswa, pinjaman pendidikan dan program pendidikan, sukan, kebudayaan serta kemasyarakatan yang memanfaatkan 1.5 juta penerima.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel