Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Kelantan rampas 1.65kg syabu, 6,000 biji pil yaba


Tarikh kemaskini: 18/05/2019





KOTA BHARU, 18 Mei (Bernama) -- Polis Kelantan merampas sejumlah 1.65 kilogram dadah jenis syabu dan 6,000 biji pil yaba bernilai RM232,500 dalam satu serbuan di Kampung Gaung, Pasir Mas awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata pihaknya turut menahan empat lelaki termasuk dua beradik berusia antara 30 hingga 34 tahun dalam serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu.

"Hasil maklumat orang awam, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas telah membuat serbuan di sebuah hotel murah di lokasi tersebut.

"Sebaik tiba di hotel tersebut, pasukan serbuan telah mengetuk pintu dan memperkenalkan diri namun tiada jawapan, menyebabkan mereka bertindak memecahkan pintu bilik hotel," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata hasil pemeriksaan di dalam bilik tersebut menemui sebuah beg berwarna hitam di atas lantai yang mengandungi dadah-dadah tersebut selain turut menyita sebuah motosikal berkuasa besar serta beberapa barangan lain yang dianggarkan bernilai RM75,550.

"Kita percaya bekalan dadah ini diperolehi dari negara jiran. Kesemua suspek yang tiga daripadanya penganggur manakala seorang lagi kelindan lori itu direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah," katanya.

Dalam kes berasingan, Hasanuddin berkata mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui orang awam di Kampung Padang Kiat, Sering di sini, pagi tadi.

Beliau berkata mayat bayi malang itu yang dibungkus dalam kain batik dibuang di sebuah madrasah di kampung berkenaan ditemukan seorang jemaah selepas menunaikan solat Subuh kira-kira pukul 7.20 pagi tadi.

"Mayat bayi perempuan itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk dibedah siasat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel