Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

LZS serah enam van jenazah kepada lima hospital terpilih di Selangor


Tarikh kemaskini: 17/05/2019





KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan enam van jenazah kepada lima hospital terpilih di Selangor melibatkan peruntukan RM928,560.

Ketua Jabatan Pengurusan Sosial dan Kebajikan, Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Saiful Anuar Abdullah Saleh berkata sumbangan itu adalah bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah.

"Sumbangan van jenazah ini melibatkan dua buah di Hospital Sungai Buloh dan masing-masing sebuah di Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Serdang dan Hospital Ampang. 

"Pemilihan hospital ini berdasarkan kepada keperluan semasa setiap hospital berkenaan dan kita sedia maklum lima hospital ini adalah Hospital Rujukan Kebangsaan dan mempunyai kadar kematian sangat tinggi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Van Jenazah LZS di Hospital Sungai Buloh, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim, Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kamaruddin Alias dan Ketua Divisyen Teknologi Maklumat LZS Abdul Halim Abdul Rahim. 

Saiful Anuar berkata, ini kali kedua sumbangan van jenazah daripada LZS kepada pihak hospital. 

"Sebelum ini, kita menyumbang tiga van jenazah kepada tiga hospital di Selangor iaitu Hospital Kajang, Hospital Sabak Bernam dan Hospital Tanjung Karang pada 2015," katanya. 

Beliau berkata, sumbangan van jenazah itu sebahagian kecil daripada sumbangan zakat di bawah program pembangunan institusi agama. 

"Berdasarkan rekod, LZS menyumbang 90 van jenazah dengan jumlah keseluruhan RM101.86 juta sejak 2013," katanya. 

Dalam pada itu, Dr Khalid berkata sumbangan diberikan LZS itu akan menambahkan lagi kemudahan kepada pesakit beragama Islam yang meninggal dunia di lima hospital berkenaan. 

"Ini kerana, selama ini, kita hanya bergantung kepada satu hingga empat van jenazah yang berada di bawah Kementerian Kesihatan khususnya di Selangor. 

"Justeru, sumbangan ini sudah pasti akan dapat mempercepatkan proses penghantaran jenazah daripada hospital tanpa perlu menunggu van jenazah sedia ada atau perlu memohon van jenazah daripada sumber lain," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel