Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tahan 398 penjenayah dalam Ops Mega


Tarikh kemaskini: 17/05/2019





KUALA NERUS, 16 Mei (Bernama) -- Polis Terengganu berjaya menahan 398 penjenayah atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas (Ops Mega) yang dijalankan selama sebulan bermula 15 April lepas.

Kesalahan dikesan termasuk dadah, jenayah komersial,  pecah rumah dan curi motosikal yang menjadi penyumbang utama kepada indeks jenayah Terengganu.

Ketua Polis negeri  Datuk Aidi Ismail berkata operasi itu telah dijalankan serentak di seluruh negeri susulan peningkatan kes jenayah dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

"Operasi ini antara usaha berterusan pihak polis mengurangkan kadar jenayah negeri terutama daerah Kuala Terengganu yang biasanya mencatat bilangan kes jenayah tertinggi antara daerah.

“Rondaan dan kawalan dijalankan sepanjang masa tetapi lebih tertumpu pada sebelah malam iaitu ketika umat Islam keluar berterawih di surau atau masjid. Selain kawasan penempatan orang ramai, rondaan dan pemantauan juga dijalankan di markas dadah dan tumpuan orang ramai," katanya katanya kepada pemberita selepas melancarkan  Program High Profile Policing (HPP) di Bazar Ramadan Gong Badak, di sini hari ini.

HPP adalah program turun padang yang disasarkan ke premis perniagaan dan bazar Ramadan dalam usaha pencegahan jenayah sekali gus menurunkan kadar jenayah di sesuatu kawasan.

Menurut Aidi, selain rondaan cegah jenayah,  Ops Mega juga melibatkan operasi sekatan jalan raya bagi mengesan penjenayah dalam senarai dikehendaki polis.

"Kami yakin Ops Mega akan memberi impak kepada penurunan kadar jenayah kerana kita juga telah berjaya menahan seramai 14 penjenayah dalam 'wanted list'.

"Oleh itu, fasa kedua Ops Mega akan dilaksanakan dalam masa terdekat iaitu hampir dengan Hari Raya Puasa bagi mengekang kes-kes jenayah seperti curi dan pecah rumah yang biasanya kerap berlaku pada musim perayaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan supaya lebih ramai mendaftar dengan Volunteer Smartphone Patrol (VSP) kerana ia membantu orang ramai apabila menghadapi kes kecemasan dan kesulitan. 

Katanya, pada masa ini kira-kira 63,000 rakyat Terengganu telah mendaftar dengan aplikasi tersebut yang membolehkan orang ramai dihubungkan secara terus ke semua bilik gerakan polis daerah serta kontinjen dan jumlah tersebut masih rendah berbanding jumlah penduduk negeri ini yang melebihi satu juta.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel