Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga lelaki ditahan bantu siasatan pergaduhan di Medan Selera Jalan Trus


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki, di perkarangan Pasar Borong Pandan, di sini,  awal hari ini, bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Medan Selera di Jalan Trus, di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata ketiga-ketiga mereka yang berumur antara 34 dan 48 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 1.00 pagi tadi berdasarkan siasatan dan maklumat orang awam, di mana video perselisihan faham dan pergaduhan itu turut tular di laman sosial.

“Terdahulu, pada 12.01 malam, Isnin lepas, telah berlaku perselisihan faham dan pergaduhan di Medan Selera, di Jalan Trus, di sini, dan pihak polis berjaya menahan enam lelaki berumur antara 30 dan 35 tahun yang terlibat dalam pergaduhan itu, iaitu tiga daripada mereka merupakan pemilik gerai manakala tiga lagi adalah dari pihak kontraktor.

“Perselisihan faham dan pergaduhan antara kedua-dua pihak itu dipercayai akibat rasa tidak puas hati terhadap pengubahsuaian gerai,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata kira-kira sejam setengah kemudian (1.30 pagi), terdapat sekumpulan 10 lelaki kemudian datang ke tempat kejadian sama kerana tidak puas hati terhadap tiga rakan mereka yang ditahan polis.

Beliau berkata sekumpulan lelaki terbabit kemudian bertindak merosakkan kerusi dan meja serta membuat bising di Medan Selera tersebut.

“Hasil siasatan dan maklumat, pada 1.00 pagi tadi, polis berjaya menahan tiga lelaki di Pasar Borong Pandan terbabit dan hasil soal siasat, ketiga-tiganya mengaku terlibat dalam kejadian yang ditularkan itu.

“Semakan rekod jenayah mendapati ketiga-tiganya mempunyai rekod lampau pelbagai kesalahan, namun, ujian air kencing mereka negatif terhadap dadah,” katanya.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menyebabkan kerugian berharga RM25,000 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Shahurinain berkata selain penahanan ketiga-tiga mereka, pihaknya kini sedang mengesan suspek lain yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian sama.

Katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian terbabit boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Insp Nur Mohammad Royza Alif Zahuri di talian 019-4782697 bagi membantu siasatan.

 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel