Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bantu mereka yang lemah, jangan jadi netizen tak bertanggungjawab-Lee Lam Thye


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kejadian seorang remaja dikatakan membunuh diri selepas hasil undian dalam talian yang dilakukannya lebih banyak menyuruhnya membunuh diri, boleh diumpamakan seperti kerumunan orang ramai berteriak menyuruh "lompat" apabila ternampak seseorang yang berniat hendak membunuh diri berdiri di hujung atap atau balkoni bangunan tinggi, kata Penaung Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA) Tan Sri Lee Lam Thye.

Jika dalam dunia siber, tindakan kerumunan itu boleh dianggap sebagai perbuatan buli siber memandangkan ramai yang mengambil bahagian dalam kaji selidik itu menggalakkan dia untuk membunuh diri, katanya.

Mereka yang mengalami masalah emosi sebelumnya adalah lebih mudah terpengaruh atau menerima kesan daripada hantaran di media sosial, justeru amat penting untuk mengenal pasti dan menolong mereka di peringkat awal.

"Ini boleh dilakukan jika kita lebih sensisitif apabila membaca hantaran di media sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jadi, anggota keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan perlu membantu mengenal pasti mangsa dan menolong mereka dan bukannya menjadi netizen yang tidak bertanggungjawab dengan menambah buruk lagi  keadaan.

"Kita juga boleh merujukkan mereka ke doktor atau kaunselor terlatih sekiranya masalah mereka sukar diselesaikan atau berpanjangan. Malaysia kini mempunyai lebih ramai orang muda yang menghadapi tekanan perasaan atau menunjukkan simptom-simptom penyakit berkaitan tekanan seperti resah-gelisah atau kemurungan yang disebabkan oleh pengalaman atau faktor-faktor persekitaran," kata beliau.

Lee berkata demikian sebagai mengulas kejadian di mana seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dari Padawan, Sarawak membunuh diri pada Selasa selepas membuat undian dalam talian menerusi media sosial meminta netizen memilih sama ada dia harus hidup atau mati. Sehingga 69 peratus responden memilih jawapan ‘D’ untuk kematian (death) manakala hanya 31 peratus memilih ‘L’ atau hidup.

Beliau menambah kerana ketidakmatangan daripada segi mental mereka boleh dengan mudah dipengaruhi oleh kandungan dalam talian termasuk permainan video ganas, pandangan negatif, tekanan daripada rakan sebaya dan pembuli siber di media sosial.

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2015 menunjukkan kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan lebih atau 29.2 peratus daripada penduduk negara mengalami pelbagai masalah mental, satu peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding 2006.

"Apa yamg yang lebih membimbangkan ialah masalah itu turut melibatkan pelajar-pelajar kerana nisbah pelajar yang mengalami masalah mental telah meningkat daripada satu bagi setiap 10 pelajar pada 2011 kepada satu daripada setiap lima pelajar pada 2016. Kemajuan teknologi dan akses kepada Internet yang lebih baik telah membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia termasuk golongan belia dan kanak-kanak meneroka dunia maya.

“Malangnya, tekonologi juga mendedahkan kita kepada satu lagi masalah iaitu gangguan siber, yang meliputi buli siber, mengendap, menghina agama dan eksploitasi seksual dalam dunia maya,” kata Lee.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel