Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Permintaan ke atas minyak sawit dari China meningkat, kata Kok


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





PETALING JAYA, 16 Mei (Bernama) -- Kementerian Industri Utama menerima pelbagai permintaan dari China yang menyuarakan minat untuk membeli minyak sawit dan produk berasaskan sawit dalam kuantiti yang besar dari Malaysia susulan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Beijing baru-baru ini.

Menterinya Teresa Kok Suh Sim berkata selain China, permintaan penghantaran minyak sawit juga diterima dari Korea Selatan, malah dari negara di Selatan Afrika.

“Walaupun harga minyak sawit agak rendah sekarang, kita boleh bekerja bersama untuk meneroka pasaran lain, dan akan ada lebih ramai membeli minyak sawit kita,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Pasca Lawatan PM ke China: Pencapaian & Prospek di Subang Jaya di sini hari ini.

Kok berkata pada masa ini, harga minyak sawit yang rendah dipengaruhi oleh faktor luaran seperti perang perdagangan US-China, selain prestasi minyak kacang soya yang rendah.

Eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu dijangkakan meningkat 20 peratus atau kira-kira 400,000 tan setahun susulan lawatan Dr Mahathir ke China baru-baru ini.

Menurut pemerhati industri, eksport minyak sawit Malaysia ke China dijangkakan melonjak kepada kira-kira 2.26 juta tan pada 2019 daripada 1.86 juta tan pada 2018.

Malaysia dijangkakan mengeksport bekalan tambahan pada minimum 1.9 juta tan minyak sawit ke China dalam tempoh lima tahun mulai 2019 dengan anggaran nilai sebanyak RM4.56 bilion berasaska harga purata US$600 setan.

Mengenai jadual lawatannya ke China pada akhir bulan ini, Kok berkata beliau akan menyaksikan perjanjian penyelidikan bersama mengenai pengeluaran biodiesel daripada minyak sawit.

Mengulas lawatan 10 harinya ke negara Eropah, Kok berkata beliau menemui anggota Parlimen Eropah dan Majlis Eropah mengenai pendirian mereka terhadap minyak sawit selain Akta Perwakilan.

“Walaupun saya tidak menaruh harapan yang tinggi, kami masih berharap akta berkenaan tidak diterima pakai oleh Parlimen Eropah dan Majlis Eropah.

“Namun dalam lawatan itu, saya berjaya menemui persuruhjaya Eropah selain kerajaan bagi menerangkan mengenai minyak sawit. Lebih banyak penerangan perlu dilakukan bagi menangani dakwaan bahawa kelapa sawit menyebabkan penebangan hutan memandangkan mereka tidak memahami mengenai industri berkenaan,” katanya dan menambah usaha perlu dijalankan secara berterusan.

.Akta Perwakilan itu yang akan menghentikan penggunaan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) diluluskan pada 13 Mei, mengklafikasikan minyak sawit sebagai tidak lestari dengan mendakwa penanaman sawit menyebabkan penebangan hutan selain bertentangan dengan sasaran bahan api hijau.

Sambil menekankan mengenai pentingnya untuk memberi maklumat kepada anggota EU, Kok percaya bahawa Malaysia masih berpeluang susulan pelantikan anggota parlimen EU yang baharu.

"Pemilihan EU minggu depan akan menyaksikan pelantikan ahli baharu, dan walaupun peraturan khusus diluluskan oleh Majlis Eropah, namun pintu belum ditutup untuk biofuel berasaskan sawit, dan kita harus terus meningkatkan kualiti dan usaha berkekalan, terutama dalam pemuliharaan hidupan liar dan memperkayakan hutan.

“Kami juga memperuntukkan jumlah wang yang besar untuk menerima pakai pensijilan Minyak Kelapa Sawit Lestari Malaysia (MSPO) bagi pekebun kecil, ddan oleh itu apabila kita mahu berbincang dengan Eropah sekali lagi, terutama anggota parlimen yang baru dipilih, kita akan mendapat keputusan yang lebih baik dan kadar penggunaan MSPO yang lebih tinggi," katanya.

Kerajaan mengumumkan geran RM100 juta untuk membantu penanam bebas mendapatkan MSPO, dengan kerajaan menanggung sepenuhnya kos persijilan berbanding 70 peratus sekarang.

Insentif ini disasarkan kepada penanam kelapa sawit yang mempunyai tanah antara 40 hektar hingga 1,000 hektar.

Kerajaan akan meningkatkan bantuan untuk pengauditan MSPO daripada 30 hingga 50 peratus semasa dan insentif ini akan dibayar balik kepada penanam kelapa sawit, setelah mereka memperoleh pensijilan MSPO untuk ladang masing-masing.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel