Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembinaan KXP : Perlu wujud situasi menang-menang - Saifuddin


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





BUKIT MERTAJAM, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan diminta memastikan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) nanti akan memberikan situasi menang-menang kepada dua kerajaan negeri iaitu Pulau Pinang dan Kedah serta rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia berikutan cadangan pembinaaan infrastruktur seperti lapangan terbang KXP itu sudah tentu akan menelan saiz perbelanjaan yang besar dan perlu menjadi pelengkap kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

"Pada masa ini, KXP masih di peringkat cetusan idea dan banyak perkara perlu diperhalusi lagi. Dengan infrastuktur yang begitu besar saiz perbelanjaannya, tujuan projek ini diadakan mestilah akan memberi situasi menang-menang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan Aidilfitri AEON dan KPDNHEP kepada  200 kanak-kanak  di Kompleks Membeli-Belah AEON di sini hari ini.

Berhubung persaingan yang bakal dihadapi LTAPP dengaan adanya pembinaan KXP Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu berkata keadaan ini perlu wujud dalam situasi dan dalam keadaan yang sihat serta positif.

Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dilapor berkata pembinaan KXP dijangka akan menjadi saingan dan mengurangkan kadar penggunaan kemudahan infrastruktur kargo di LTAPP dan akan mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.

Pada Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengumumkan, kerajaan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi berbeza daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang berpendapat pembinaan KXP di lokasi hanya kira-kira 60 kilometer dari Pulau Pinang akan memberi impak negatif kepada LTAPP dan negeri.

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel