Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anggota PGA sedia berepan tonto di sempadan


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





PASIR MAS, 16 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan di sempadan Kelantan-Thailand sesekali tidak akan berkompromi dengan tonto dan bersedia menghadapi sebarang tindakan agresif pihak terbabit.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Khaled Che Lah berkata anggota PGA memang sudah sedia terlatih dan sentiasa bersedia berhadapan dengan sebarang tindakan tonto.

Katanya dalam menjalankan tugas anggota PGA sentiasa diingatkan supaya sentiasa bersedia berdepan ancaman tonto dan bertindaklah mengikut lunas undang-undang yang ada.

"Sekiranya ada ancaman kita berhak untuk bertindak. Sekiranya mereka agresif kita juga perlu agresif dan tindakan ini mungkin akan menggerunkan mereka.

"Anggota PGA ini sebenarnya memang dilatih dan tidak akan teragak-agak turut agresif sekiranya terancam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Batalion 8 PGA kepada Batalion 9 PGA, di Markas Taktikal PGA Lubuk Setol, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Supt Mohamad Shamsuddin dan Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Supt Ramly Poncho.

Dalam perkembangan sama, Khaled berkata sepanjang sebulan penugasan Batalion 8 PGA berjaya membuat rampasan pelbagai jenis barangan bernilai lebih RM700,000 selepas mengambil alih Ops Wawasan Kelantan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 20 April lepas.

"PGA dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan penugasan Ops Wawasan bermula di Pekan Rantau Panjang sehingga Pengkalan Kubor sejauh lebih 30 kilometer mengikut persisiran Sungai Golok.

"Ops Wawasan bertujuan untuk mengekalkan keselamatan sempadan negara antara Malaysia dan Thailand dari diceroboh serta menbanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan," katanya.

Jelas Khaled, tugasan dijalankan dengan mengatur gerak hampir 400 pegawai dan anggota PGA dengan melakukan kawalan yang dipecahkan tiga bahagian iaitu kawasan operasi Kuala Jambu, Jeram Perdah dan Rantau Panjang.

"Pihak kami juga melakukan sekatan jalan raya, sekat pintas, rondaan di kawasan yang telah dipertanggungjawabkan serta menubuhkan pasukan Task Force untuk membanteras penyeludupan dan jenayah.

"Antara rampasan dilakukan ialah pil kuda, mercun serta bunga api, beras, ayam beku dan minyak petrol.

"Pihak PGA akan terus memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan Sungai Golok terutama menjelang musim perayaan bagi menjamin kedaulatan negara daripada diceroboh anasir luar," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel