Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemberi lebihan makanan digesa utamakan kualiti dan kebersihan


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





BUKIT MERTAJAM, 16 Mei (Bernama) -- Para pemberi sumbangan lebihan makanan digesa untuk lebih berhati-hati dalam aspek kebersihan makanan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini umpamanya keracunan makanan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata para pengusaha restoran seharusnya memastikan lebihan makanan  yang ingin diagihkan kepada masyarakat itu dititikberatkan aspek kebersihan dan kualiti makanan.

"Ketika berlaku lebihan dan niat yang baik untuk membantu orang kalau sekiranya  tidak berhati-hati dari aspek kebersihan sudah tentu akan mengundang kes yang sebegini (keracunan makanan), " katanya kepada pemberita selepas majlis Aeon Ceriakan Sambutan Aidilfitri Kepada 200 kanak-kanak di sini hari ini.

Saifuddin berkata demikian bagi mengulas berhubung 40 penuntut Institut Al-Quran Darul Aman (Iqdar) di Jalan Sultanah di Alor Setar, yang mengalami gejala keracunan makanan selepas menjamah nasi Arab yang disumbangkan sebuah restoran. 

Dalam pada itu beliau turut menafikan penerimaan lebihan makanan oleh penuntut terbabit adalah menerusi program Food Bank.

"Ia bukan daripada program Food Bank. Alhamdulilah sejak program ini dilaksanakan 1 Julai 2017, setakat ini sifar kerosakan sebab saya menekankan rejim yang sangat ketat dari segi proses pemilihan makanan. Ia tidak ada  masalah kalau ia (makanan itu)  bahan mentah atau item, atau  masakan panas.

"Tetapi kalau lebihan daripada restoran termasuk Bazar Ramadan itu rejim tapisannya harus lebih ketat sebab itu saya tekankan di peringkat program Food Bank. Setakat ini memang tidak ada satu pun lagi aduan yang berupa keracunan dan pemberian makanan yang tidak berkualiti yang diterima masyarakat daripada program Food Bank ini," katanya.

Beliau berkata sehingga kini seramai 38,000 ketua keluarga telah menerima manfaat daripada program tersebut (Food Bank).

Terdahulu pada majlis itu seramai 200 anak-anak daripada golongan B40 dari Daerah Kulim/Bandar Baharu menerima sumbangan pakaian raya.

Program yang diadakan setiap tahun itu memberi peluang kepada anak-anak daripada golongan kurang berkemampuan untuk bersama-sama menyambut Aidilfitri dengan suasana yang gembira.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel