Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Belia umur bawah 30 tahun, tidak berparti cadangan anggota Dewan Negara


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) --  Pelantikan anggota Dewan Negara daripada kalangan belia untuk mewakili golongan terbabit hendaklah diberi kepada individu berumur 30 tahun ke bawah, selain tidak mewakili mana-mana parti politik.

Ini bagi memastikan wakil golongan belia itu dapat berperanan dengan lebih baik dalam memperjuangkan dan menyuarakan pandangan untuk kepentingan golongan itu khususnya dalam mendepani cabaran pada masa akan datang.

Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi Yusof berkata Dewan Negara merupakan platform terbaik bagi belia berkongsi pandangan.

"Keputusan kerajaan itu satu keputusan yang sangat baik memandangkan peranan Dewan Negara adalah sebagai satu forum untuk memberi peluang kepada kelompok-kelompok tertentu bersuara.

"Walaupun kita ada wakil dalam kalangan kelompok anak muda dalam parti politik di Dewan Rakyat tetapi kita tetap perlu secara khusus ada belia yang mewakili golongan itu, mungkin dari Badan Bukan Kerajaan atau badan-badan seumpama itu di Dewan Negara," katanya kepada Bernama. 

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan kerajaan bersetuju melantik seorang anggota Dewan Negara daripada kalangan belia berkelayakan yang mempunyai kepakaran luas dalam bidang dan isu pembangunan belia. 

Dr Mahathir turut mencadangkan supaya pelantikan itu dibuat dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata melalui lantikan itu belia dapat terlibat dalam proses membuat dasar dan undang-undang negara melalui penglibatan dalam perbahasan yang akan dilaksanakan.

"Penglibatan golongan belia dalam Dewan Negara juga dapat lahirkan pemimpin masa depan negara dalam kalangan anak muda," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia Fahami Ashrof Badaruddin mencadangkan bilangan belia yang akan dilantik sebagai anggota Dewan Negara tidak dihadkan kepada seorang sahaja.

"Kita bersyukur dengan cadangan lantikan itu, tetapi lebih baik sekiranya ia lebih daripada seorang agar suara belia dapat didengar dengan lebih berkesan.

"Belia yang dilantik juga seharusnya tidak mewakili mana-mana parti politik, individu tersebut seharusnya golongan muda yang betul-betul perjuangkan suara belia," katanya.  

Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha pula berkata pelantikan itu dapat meremajakan institusi Dewan Negara sebagai badan perundangan.

"Selain membawa suara anak muda, pelantikan itu dapat menjadi semak dan imbang kepada Menteri Belia dan Sukan serta mendapatkan sumber peruntukan untuk aktiviti dan persatuan belia," jelasnya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel